Individu pamer darjah kebesaran Pahang pada kenderaan berdepan tindakan tegas

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Razarudin
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Razarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mempamerkan atau melekatkan lambang Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang pada kenderaan masing-masing.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menyembah maklum titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkaitan peringatan kepada penerima-penerima Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Darul Makmur untuk tidak mempamerkan atau melekatkan lambang Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang pada kenderaan.

"Tindakan berkaitan merupakan kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1)(D) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah(mencegah penggunaan tidak wajar) Pahang 2017. "Jika disabitkan kesalahan boleh didenda antara RM250,000 hingga RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang diberi peringatan untuk tidak mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran atau pingat negeri pada kenderaan mereka. Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, peringatan itu dibuat bagi menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini bersemayam di Istana Negara.

Peringatan itu diberikan mengikut Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017, membabitkan gelaran atau anugerah dikurniakan Sultan Pahang. "Penerima darjah kebesaran dan pingat didapati melanggar atau melakukan kesalahan di bawah enakmen ini akan berhadapan dengan tindakan penarikan balik darjah dan pingat yang dikurniakan.

"Mereka yang didapati menggunakan gelaran palsu juga boleh didakwa mengikut peruntukan sama," katanya. Ahmad Khirrizal berkata, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dimohon untuk bekerjasama dalam mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang melakukan kesalahan berkenaan.

Artikel Berkaitan: