Ancaman bom: Jangan sebar berita palsu

Nie Ching (kanan) bertemu dan beramah mesra dengan peniaga di Pasar Pagi Temenggong, Kulai pada Ahad
Nie Ching (kanan) bertemu dan beramah mesra dengan peniaga di Pasar Pagi Temenggong, Kulai pada Ahad
A
A
A

KULAI - Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang cerita atau kandungan dalam media sosial yang tidak sahih faktanya kerana dikhuatiri boleh mewujudkan kerisauan, kebimbangan dan mengancam ketenteraman awam. Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, pihaknya tidak mahu penyebaran berita tidak benar berlaku seperti ancaman bom di sebuah pusat beli-belah dan hotel di bandar raya ini yang tular dalam media sosial pada Sabtu.

“Semalam saya melihat ada akaun, page dan portal di media sosial yang menyatakan bahawa ‘confirm’ ada bom di pusat beli belah itu. “Tetapi sebenarnya, selepas usaha pengesanan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), didapati tiada bom di situ. “Sebarang kandungan dan berita perlu maklumat tepat, jika tidak pasti, jangan kongsi. Ini kerana, kandungan dan berita palsu boleh mewujudkan kerisauan, ketakutan dan kebimbangan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Hebahan Info On Wheels' (IOW) Jabatan Penerangan sempena Belanjawan 2024 di Pasar Pagi Temenggong, di sini pada Ahad. Beliau mengulas kes ancaman bom di pudat beli belah The Mall Mid Valley Southkey dan Hotel St Giles Southkey di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, ribuan pengunjung termasuk pekerja beli-belah itu berdepan detik cemas apabila diarahkan mengosongkan bangunan tersebut secara tiba-tiba kira-kira jam 6.30 petang Sabtu. Keadaan ini menyebabkan timbul kekecohan setelah kesemua mereka berkumpul di ruang parkir terbuka di pusat beli-belah itu sekali gus menimbulkan mengundang pelbagai spekulasi.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan PDRM bagi menyiasat dan mengesan individu yang membuat panggilan ancaman bom tersebut. Sementara itu, beliau berkata, hebahan Belanjawan 2024 adalah penting bagi memastikan rakyat mendapat maklumat mengenai manfaat yang diberikan kerajaan.

Hebahan juga katanya, dapat membantu rakyat agar tidak terlepas peluang untuk menikmati inisiatif-inisiatif yang disediakan kerajaan. “Guna peluang yang disediakan kerajaan ini, sama ada geran, pinjaman atau insentif yang dapat membantu rakyat dari segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan: