500 pelajar terima bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat

Penerima bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat bersama Ahmad Maslan (tengah, berdiri).
Penerima bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat bersama Ahmad Maslan (tengah, berdiri).
A
A
A

PONTIAN - Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Pontian telah menyediakan bantuan persekolahan bagi membantu dalam meneruskan sesi persekolahan penggal kedua.

Sebanyak RM50,000 diperuntukkan kepada 500 pelajar dari kalangan keluarga B40 yang melibatkan 15 buah sekolah di Pontian dalam satu majlis penyerahan pada Sabtu.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha yang dilakukan membantu keluarga B40 seharusnya di puji.

Timbalan Menteri Kewangan I itu menghargai sokongan berterusan yang diberikan oleh YBR membantu golongan yang kurang bernasib baik khususnya pelajar di daerah ini.

"Usaha ini seharusnya dipuji kerana ianya merupakan satu inisiatif dalam membantu mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh mereka dikalangan B40 terutamanya ketua keluarga di kawasan luar bandar dalam meneruskan sesi persekolahan anak-anak," katanya.

Hadir sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Mohd Jafri Kudus; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman.

Dalam pada itu, Mohd Irwan berkata, jumlah bantuan yang diberikan tidaklah besar namun diharap dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah yang perlu diganti.

"Bantuan Persekolahan ini dilihat sebagai alternatif terbaik bagi mengurangi bebanan kos sara hidup keluarga yang kian meningkat akibat daripada ketidaktentuan ekonomi terutamanya bagi mereka yang berada di luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Semoga usaha ini dapat memberi sinar kegembiraan buat murid-murid dalam menuntut ilmu serta tanda tulus ikhlas YBR dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik," katanya.

Pada tahun lepas, seramai 26,604 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 87 lokasi.