Yayasan Bank Rakyat salur bantuan persekolahan RM100,000

Gimik penyerahan sumbangan bantuan persekolahan Bandar Tun Razak oleh Mohd Mukhti (dua dari kanan) dan Wan Azizah (tiga dari kiri) pada Rabu.
Gimik penyerahan sumbangan bantuan persekolahan Bandar Tun Razak oleh Mohd Mukhti (dua dari kanan) dan Wan Azizah (tiga dari kiri) pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Bank Rakyat menyalurkan bantuan persekolahan RM100,000 kepada 1,000 pelajar di 14 sekolah sekitar Bandar Tun Razak pada Rabu.

Ketua Bahagian Operasi Yayasan Bank Rakyat, Mohd Mukhti Abd Rahman berkata, sumbangan tersebut disalurkan kepada anak-anak dalam keluarga kurang kemampuan, B40 dan asnaf.

Menurutnya, bantuan berkenaan diharap sedikit sebanyak membantu pelajar selain memberikan motivasi kepada mereka untuk cemerlang dalam bidang akademik.

"Kami mahu pelajar sedar bahawa ramai pihak di luar yang mahu membantu kejayaan mereka," katanya pada Penyerahan Bantuan Sekolah Parlimen Bandar Tun Razak di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orchid Desa di sini.

Majlis telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Dalam pada itu Wan Azizah berkata, sumbangan itu adalah suntikan dan perangsang buat pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

Pada masa sama, beliau turut menekankan, aspek keseimbangan akademik dan pemikiran kritis buat semua pelajar.

"Kalau boleh graduan bukan hanya cemerlang dari segi intelektual tetapi mempunyai pemikiran kritis yang boleh menentukan yang mana baik dan buruk," katanya.