Bank Rakyat tawar pembiayaan Peribadi-i serendah 2.69 peratus setahun

Bank Rakyat menawarkan kadar keuntungan pembiayaan serendah 2.69 peratus setahun kepada pelanggan menerusi produk Pembiayaan Peribadi-i sempena ulang tahunnya yang ke-69.
Bank Rakyat menawarkan kadar keuntungan pembiayaan serendah 2.69 peratus setahun kepada pelanggan menerusi produk Pembiayaan Peribadi-i sempena ulang tahunnya yang ke-69.
A
A
A

BANK Rakyat menawarkan kadar keuntungan pembiayaan serendah 2.69 peratus setahun kepada pelanggan menerusi produk Pembiayaan Peribadi-i dengan amaun sehingga RM400,000 bermula 4 September sehingga 31 Disember 2023 sempena ulang tahunnya yang ke-69.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, tawaran tersebut dapat membantu untuk merancang kewangan dengan bijak di samping menunjukkan tanda keprihatinan dan ihsan terhadap kesejahteraan pelanggannya.

Menurutnya, perkara tersebut sekali gus menghargai keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan bank berkenaan selama ini, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Pada masa sama, Bank Rakyat turut menawarkan kempen Pembiayaan Peribadi-i Khas yang telah bermula pada 15 Mei hingga 31 Oktober untuk sektor syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anak syarikat, swasta dan profesional dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000 termasuk baucar HABIB Jewels bernilai RM5,000 kepada lima orang pemenang setiap bulan.

“Selain itu, Bank Rakyat menawarkan tawaran khas pembelian kenderaan elektrik (EV) melalui produk Pembiayaan Kenderaan-i dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 termasuk baucar pengecas kereta elektrik bernilai RM5,000 kepada 20 pemenang bermula 12 Jun sehingga 31 Disember 2023,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohammad Hanis memaklumkan, pelanggan boleh menikmati tawaran menarik menerusi produk Kad Kredit-i Bank Rakyat seperti pulangan tunai pembelian emas dan barangan kemas minimum RM3,000 serta hadiah keseluruhan RM69,000 kepada 69 pemenang sahaja.

Tambahnya, Kad Kredit-i turut menawarkan rebat sebanyak lima peratus menerusi promosi Jom Makan-Makan September bagi pelanggan yang berbelanja menggunakannya dengan minimum transaksi RM30, sama ada makan di mana-mana restoran atau memesan makanan secara dalam talian.

“Tawaran ini bermula 15 September sehingga 15 Oktober, terbuka kepada semua pemegang Kad Kredit-i Bank Rakyat dengan jumlah had pulangan tunai sehingga RM100,000.

Artikel Berkaitan:

“Sementara itu, pelanggan bukan individu seperti syarikat atau perniagaan juga tidak terkecuali untuk menikmati tawaran menerusi Pembiayaan Sewa Beli Komersial-i Bank Rakyat bermula 1 Ogos sehingga 31 Oktober 2023.

“Pelanggan yang membuat sebarang pembelian kenderaan Nissan dalam tempoh kempen melalui Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd dan pengedar sah berpeluang menikmati rebat berjumlah keseluruhan RM50,000 iaitu RM1,000 untuk 50 pemenang sahaja,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohammad Hanis berkata, pihaknya akan menganjurkan Karnival Nuri Madani 2023 di enam lokasi buat penyimpan akaun simpanan i-Nuri dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi memupuk semangat perpaduan.

Antara enam lokasi itu ialah SMK Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor; SMK Raja Tun Uda, Bayan Baru, Pulau Pinang; SMK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur; SMK Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan; SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak dan SMK Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan.

“Program yang diadakan ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk mendekatkan diri dengan masyarakat. Pelbagai aktiviti telah dirangka seperti Nuri Teenpreneurship, sesi bual bicara Madani, perlawanan bola sepak, bola jaring, e-Sukan, pancaragam dan pertandingan memasak,” katanya.