Peruntukan RM50 juta baiki kawasan kemalangan tidak cukup

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman dalam Belanjawan 2024 berkaitan peruntukan RM2.8 bilion bagi tujuan penyelenggaraan dengan RM50 juta untuk membaiki kawasan yang mempunyai kadar kemalangan tinggi dilihat masih belum mencukupi bagi meningkatkan kadar keselamatan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana jumlah kemalangan yang dilaporkan sentiasa meningkat dan semakin serius setiap hari terutamanya penunggang motosikal yang melibatkan kematian sehingga 65 peratus.

Menurutnya, inisiatif perlu diwujudkan iaitu pihak berkenaan harus mengenal pasti langkah mewujudkan laluan motosikal yang baik dan mampu menambah aspek keselamatan untuk mengurangkan kadar kemalangan golongan ini.

“Laluan ini boleh ditumpukan di kawasan yang kerap memperlihatkan banyak kejadian melibatkan penunggang motosikal.

"Inisiatif lain yang boleh diambil oleh kerajaan ialah memberi tumpuan kepada isu jalan berlubang seperti mana disebut bahawa kerajaan komited menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat harus diambil serius oleh bahagian pelaksanaan.

"Masalah ini bukan sekadar tertumpu pada jalan utama semata-mata tetapi semua jalan yang berada di bawah pemantauan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, antara perkara yang tidak disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pembentangan adalah peruntukan khas mengenai pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya.

“Pendidikan berkenaan pencegahan kemalangan jalan raya adalah perkara penting bagi mengelakkan masalah ini menjadi lebih serius. Antara inisiatifnya adalah penggunaan papan tanda digital yang memaparkan statistik sebagai tanda peringatan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai ketika memandu.

"Selain itu, pendidikan melalui kaca televisyen dan dalam talian mengenai sikap buruk pemandu seperti memandu melebihi had laju, cuai, serta tidak mematuhi peraturan jalan raya perlu dipaparkan sebagai peringatan mesra yang akan membantu mengurangkan kadar kemalangan," katanya lagi.

Ujar beliau, difahamkan peruntukan RM563 juta untuk penambahbaikan cerun serta lereng bukit adalah susulan insiden di Batang Kali dan ia merupakan langkah penting untuk mengelakkan tragedi pada masa depan.

"Seterusnya, kita juga perlu mengambil perhatian bahawa walaupun belanjawan menggariskan pinjaman dan jaminan yang besar untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tumpuan nampaknya adalah pada sokongan perniagaan.

"Ia bukannya mengutamakan keselamatan, kesihatan, keterjaminan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), penguatkuasaan dan perundangan kredit karbon kerana ia penting untuk memastikan PKS bersedia untuk perubahan global yang akan berlaku," ujarnya.

Tambah Lam Thye, daripada segala inisiatif dan keputusan yang dibuat kerajaan, tindakan menaikkan kadar duti eksais minuman bergula dinaikkan sebanyak 10 sen iaitu 40 sen kepada 50 sen.

"Hasil kutipan ini diambil kira dan akan disalurkan semula untuk rawatan kencing manis dan pusat dialisis. Tidak dapat dinafikan pengambilan gula menyumbang kepada masalah kesihatan yang paling teruk di negara kita.

"Maka cadangan ini sememangnya harus diwujudkan bagi mengelakkan orang ramai mengambil minuman bergula seterusnya dapat mengelakkan penyakit yang serius," katanya.

Artikel Berkaitan: