Saintis cipta sistem keselamatan tidak boleh digodam

Dr Andrea Fratalocchi
Dr Andrea Fratalocchi
A
A
A

EDINBURGH - Sekumpulan penyelidik membangunkan sistem keselamatan pertama yang tidak boleh digodam untuk melindungi komunikasi daripada serangan siber.

Pasukan dari Universiti of St Andrews di Scotland bersama rakan antarabangsa dipercayai telah mencapai kesempurnaan dalam menyimpan rahsia dengan teknologi baharu yang dapat menghalang ancaman penggodaman data.

Sistem baharu tersebut menggunakan cip silikon sebagai penghantar maklumat yang mengandungi struktur rumit tidak boleh diubah, dicipta atau dipintas oleh penggodam.

Maklumat akan disimpan sebagai cahaya yang kemudiannya melalui cip silikon dan dibiaskan menjadi pecahan maklumat.

Profesor Andrea di Falco dari Kolej Fizik dan Astronomi di Universiti of St Andrews menyifatkan teknik tersebut sebagai benar-benar tidak boleh dipecahkan.

"Ia boleh digunakan untuk melindungi kerahsiaan komunikasi pengguna pada kelajuan ultracepat yang hampir seperti cahaya dalam cip optik elektronik," katanya.

Sementara itu, ketua penyelidik, Dr Andrea Fratalocchi berkata, dengan teknologi komputer yang lebih berkuasa dan kuantum semua data sulit boleh dibuka dalam masa singkat sekali gus mendedahkan privasi masa kini dan masa lalu.

"Contohnya, penggodam boleh menyimpan mesej dihantar hari ini dan menunggu teknologi yang tepat untuk membukanya.

Artikel Berkaitan:

"Penyelidikan ini berpotensi menjadi penyelesaian untuk semua orang dan di mana sahaja. Jika skim ini dilaksanakan di seluruh dunia, penggodam kripto perlu mencari kerja lain," katanya. - Agensi