MOM sifatkan Bajet 2024 mesra industri sukan

Megat Shahriman (kiri), Norza
Megat Shahriman (kiri), Norza
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan Belanjawan 2024 sebagai mesra industri sukan meliputi kepentingan setiap pihak sekali gus melambangkan iltizam kerajaan menjadikan sukan sebagai elemen teras membentuk masyarakat Madani.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kira keperluan semua lapisan keluarga sukan negara dengan kemuncaknya peruntukan RM20 juta untuk program Road To Gold (RTG).

“MOM menyambut baik pengumuman Belanjawan 2024 susulan kejayaan kontinjen negara mengumpul 32 pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini.

“Ini memberi impak positif apabila kerajaan setuju beri tumpuan kepada kelompok atlet elit menerusi peruntukan RM20 juta untuk program RTG yang merupakan sebahagian daripada RM72 juta diperuntukkan untuk disiplin Olimpik dan bukan Olimpik di bawah Program Podium seliaan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebagai rekod, RTG adalah jawatankuasa khas dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Mohamad Norza yang dibentuk bagi memantau prestasi atlet elit yang berpotensi menjadi prospek pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, peruntukan kepada RTG akan digunakan bagi membiayai program latihan dan pertandingan dengan tumpuan kepada usaha memastikan kelompok atlet lebih besar layak ke Paris sekali gus meluaskan prospek kontinjen negara untuk menggapai pingat emas.

Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin berkata peruntukan RM12 juta bagi ekosistem atlet para memberi peluang badan induk itu memperkasakan 97 atlet elit yang berada di bawah jagaan mereka.

Tambah Megat D Shahriman, pencapaian atlet para memang tidak boleh dipertikaikan apabila mereka pernah membawa pulang pingat emas di temasya Sukan Paralimpik selain kembali mengangkat maruah negara di Sukan Para ASEAN (APG) di Kemboja 2023.

Artikel Berkaitan:

“Sudah pasti peruntukan dalam Belanjawan 2024 akan membantu (ke Sukan Paralimpik Paris 2024). Contohnya macam Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh) yang sudah layak secara merit ke temasya itu,” katanya.

Anwar sebelum itu mengumumkan peruntukan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem Program Podium termasuk RM20 juta untuk pelaksanaan inisiatif RTG, selain RM12 juta diperuntukkan bagi memperkasa ekosistem atlet para.

Selain itu, sejumlah RM50 juta turut disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.

Dalam pada itu, kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta kerana sambutan tahun ini amat menggalakkan.