Kerajaan sedia peruntukan RM150 juta baiki tandas awam

Sebanyak RM150 juta diperuntukkan kerajaan bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 PBT seluruh negara. - Gambar hiasan
Sebanyak RM150 juta diperuntukkan kerajaan bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 PBT seluruh negara. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi usaha membaik pulih kemudahan tersebut, projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah juga dijangkakan hampir siap sepenuhnya pada tahun ini.

“Tidak boleh diterima akal bahawa selama ini kita membiarkan anak-anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur.

“Kerajaan akan terus membela nasib rakyat dan menumpukan keutamaan terhadap perkhidmatan dan projek-projek yang memberi kesejahteraan kepada rakyat. Antaranya termasuklah menangani masalah asas rakyat yang masih berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, lebih 4,100 jalan berlubang di Jalan Persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih setakat Ogos tahun ini.

Beliau berkata, aspek keselamatan jalan raya akan terus diberi pertimbangan utama memandangkan negara mencatatkan purata lebih 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh 10 tahun ini.

“Kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri juga harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan MARRIS berjumlah 5.4 bilion ringgit yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut meningkatkan peruntukan sebanyak RM41.2 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun hadapan berbanding tahun ini RM36.3 bilion.

Menurutnya, sejumlah RM5.5 bilion daripadanya ialah untuk memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

Tambahnya, beberapa projek pembangunan baharu akan mula dilaksanakan antaranya Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta.

“Selain itu, kerja awalan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Johor; Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dengan kos RM 175 juta dan bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

“Seterusnya, lima klinik kesihatan baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos RM150 juta,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah Institut Kanser di Sarawak.

Ujarnya, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar bagi terus mengawal kesesakan di hospital