Tumpu struktur semula ekonomi, tingkat darjat hidup rakyat

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa beg dokumen berisi teks ucapan Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani ketika tiba di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa beg dokumen berisi teks ucapan Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani ketika tiba di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2024 yang dibentangkan hari ini, memberi tumpuan kepada penstukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan ekonomi Malaysia, selain usaha meningkatkan darjat hidup rakyat dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik dan pembaharuan segera.

Selaras dengan kerangka Ekonomi Madani, Belanjawan 2024 merangkumi tiga bidang tumpuan iaitu melaksanakan reformasi bagi meningkatkan tatakelola dan sistem penyampaian awam, mentransformasikan ekonomi dan perniagaan di samping meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Transformasi ekonomi yang dipacu di bawah Belanjawan 2024 bertujuan mencetus pembaharuan bagi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas, yang berpandukan kepada kerangka Ekonomi Madani,” menurut Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Sehubungan itu, pelbagai insentif dan kemudahan pembiayaan disediakan bagi menggalakkan kompleksiti ekonomi, digitalisasi, pertumbuhan hijau serta pertumbuhan inklusif yang lebih luas di seluruh negara.

Pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana juga diberi penekanan melalui aspek kemudahan pembiayaan, daya saing, peningkatan kemahiran modal insan dan orientasi berasaskan eksport.

Menurut laporan itu, Malaysia juga menyasarkan pemerkasaan inovasi dalam ekonomi Islam khususnya kewangan Islam dan produk halal bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Islam global.

"Pasaran halal global dianggarkan mencapai jumlah signifikan sebanyak AS$7.7 trilion menjelang 2025. Perkembangan ini merupakan peluang terbaik Malaysia mengukuhkan kedudukan dalam pasaran halal global dengan meningkatkan daya saing industri halal domestik,” menurut laporan itu.

Bidang fokus kerajaan termasuk industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, aeroangkasa, tenaga bersih, elektrik dan elektronik, kimia, farmaseutikal dan dan tenaga bersih bagi memacu Malaysia ke arah kemajuan teknologi dan peningkatan daya saing.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pelbagai inisiatif akan dilaksana untuk mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berdaya saing, termasuk memperkemaskan agensi penggalakan pelaburan, memudahkan prosedur pentadbiran serta menyemak semula undang-undang berkaitan mewujudkan persekitaran mesra pelabur.

Pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana juga diberi penekanan melalui aspek kemudahan pembiayaan, daya saing, peningkatan kemahiran modal insan dan orientasi berasaskan eksport.

Belanjawan 2024 juga menggariskan usaha kerajaan dalam memperkukuhkan sekuriti makanan termasuk langkah mengoptimumkan penggunaan ladang sedia ada, dan teknologi pertanian, selain komitmen kerajaan untuk terus menyediakan sokongan kewangan kepada petani dan pelabur.

Bagi menterjemahkan matlamat Ekonomi Madani untuk ‘menaikkan lantai', Belanjawan 2024 menetapkan inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat seiring hasrat ‘menaikkan siling potensi ekonomi Malaysia.

Ia merangkumi pewujudan pekerjaan yang bermakna dengan gaji yang wajar, keterangkuman dan peluang saksama, akses sejagat kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, kemudahan asas bertaraf dunia serta jaringan keselamatan sosial lebih komprehensif kepada semua rakyat.

Inisiatif ini juga termasuk memastikan golongan berpendapatan rendah terus dibantu bagi mendepani cabaran kos sara hidup, sejajar peralihan ke arah subsidi secara bersasar.

Sementara itu, ke arah menggalakkan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi dan ibu kembali bekerja, antara lain kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja akan ditambah, selain pelaksanaan waktu bekerja fleksibel akan diperkukuhkan.

Pembaharuan institusi juga akan dilakukan untuk memperkukuh tata kelola serta meningkatkan keberkesanan penyampaian awam dan pelaksanaan inisiatif Kerajaan.

Kementerian Kewangan berkata penstrukturan semula ekonomi Malaysia secara holistik memerlukan pendekatan seluruh negara, justeru kerjasama juga akan dijalin dengan Kerajaan negeri dan badan bukan Kerajaan bagi memenuhi keperluan negara.

"Belanjawan 2024 menandakan permulaan perjalanan Malaysia untuk membina semula ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya tahan seperti yang dicita-citakan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” menurut laporan itu. - Bernama