Beri kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan - Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kelebihan kepada kerajaan di Parlimen.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimana pun keputusan tersebut perlu dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat bagi menentukan sama ada kenyataan itu mempunyai implikasi di bawah undang-undang lompat parti yang diluluskan sebelum ini.

Menurut Pengerusi UMNO Perak itu, sama ada kedudukan Iskandar Dzulkarnain di Dewan Rakyat juga berubah atau sebaliknya juga tertakluk kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat.

"Kerajaan pusat sekarang ada 147 (Ahli Parlimen), kurang satu untuk mendapatkan dua pertiga. Jadi dengan satu sokongan ini, tak kira dia lompat parti atau tidak apabila tiba masanya untuk membuat keputusan, katakanlah memerlukan dua pertiga sokongan maka jika dia menambah satu sokongan menjadikan dua pertiga untuk meluluskan sesuatu RUU (Rang Undang-Undang).

"Saya fikir itu tidak terkesan dengan akta antilompat parti. Dia bebas untuk menyokong mana-mana rang undang-undang," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri ke-9 di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Terdahulu, Iskandar Dzulkarnain membuat keputusan untuk menyokong Anwar yang memimpin kerajaan Perpaduan yang menggabungkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berkuat kuasa pada Khamis.

Menurut wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, pendekatan tersebut diambil setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Tegas Iskandar Dzulkarnain, meskipun membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan kerajaan ketika ini, namun beliau tidak akan tinggalkan apatah lagi khianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.

Artikel Berkaitan:

Malah, beliau dalam masa sama juga bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin oleh partinya.