Kerajaan kembalikan geran bantuan Sekolah Agama Rakyat bawah Jakim

Sebanyak RM150 juta diperuntukkan kepada Jakim bagi menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz. - Foto Fail Bernama
Sebanyak RM150 juta diperuntukkan kepada Jakim bagi menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz. - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengkhususkan RM1.9 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

Menurutnya, dua institusi pendidikan Islam akan dibina melibatkan kos RM220 juta iaitu Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan.

“Sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jakim untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

“Insya-ALLAH, penganjuran majlis ilmu oleh tokoh dan ilmuan Islam di seluruh negara khususnya di Kompleks Seri Perdana akan diteruskan dan diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman serta penghayatan ilmu agama kepada umat Islam,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, bagi menghargai jasa dan peranan besar lebih 70 ribu guru, kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan khas ditambah menjadi RM700 yang akan disalurkan kepada mereka dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Pemberian ini diharap dapat menyokong fungsi Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi mereka,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: