Kerajaan teruskan geran tahunan RM25 juta untuk Universiti Aimst

Vigneswaran (kiri) berswafoto bersama sebahagian pelajar terbaik sempena Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Majlis Konvokesyen ke-14 Universiti Aimst pada Sabtu.
Vigneswaran (kiri) berswafoto bersama sebahagian pelajar terbaik sempena Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Majlis Konvokesyen ke-14 Universiti Aimst pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Geran tahunan sebanyak RM25 juta yang diterima Universiti Aimst membolehkan lebih banyak pembangunan infrastruktur dan biasiswa ditawarkan sekali gus menarik lebih ramai kemasukan pelajar ke institusi pendidikan berkenaan.

Canselornya, Tan Sri Dr SA Vigneswaran berkata, pihak universiti merakamkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan yang meneruskan pemberian geran tahunan tersebut dalam usaha melahirkan graduan berkualiti tinggi serta diiktiraf.

Beliau yang baharu dilantik menggantikan mendiang Tun S Samy Vellu berkata, sebuah kampus cawangan baharu di Kuala Lumpur dan sebuah lagi di luar negara akan dibuka bagi memberi peluang pendidikan kepada lebih ramai pelajar tempatan dan antarabangsa.

"Sebuah pusat diagnostik juga akan ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan diagnostik dengan harga yang berpatutan dan lebih pantas kepada komuniti, yang kemudiannya akan diperluaskan dengan penambahan perkhidmatan pengimejan," katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika selesai Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Majlis Konvokesyen ke-14 di Universiti Aimst di sini pada Sabtu.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 692 graduan 2022 diraikan di mana pingat emas dianugerahkan kepada pelajar terbaik Sarjana Muda Pembedahan Pergigian, Foo Jia Yee.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan, Nur Najmin Syahirah Shobri menerima Anugerah Pelajar Terbaik.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan, Nur Najmin Syahirah Shobri menerima Anugerah Pelajar Terbaik.

Turut tersenarai dalam Anugerah Pelajar Terbaik ialah Nur Najmin Syahirah Shobri yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan.

Aimst University yang ditubuhkan pada 2001, diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan 40 program yang diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bermula dengan 55 pelajar sehingga kini mempunyai 3,350 pelajar.

Antara bidang ditawarkan termasuklah melalui Pusat Pengajian Am dan Asasi, Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi, Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Fakulti Profesion Kesihatan Bersekutu dan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Komputer.