Agong, Permaisuri rasmi Persidangan Olave Baden-Powell Society

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menghadiri Persidangan OB-PS 2023 di Genting Highlands pada Jumaat. - Foto X Bernama
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menghadiri Persidangan OB-PS 2023 di Genting Highlands pada Jumaat. - Foto X Bernama
A
A
A

GENTING HIGHLANDS - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Persidangan Olave Baden-Powell Society (OB-PS) Malaysia 2023 di sini hari ini.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir ke majlis itu.

Tunku Azizah yang juga Royal Benefactor dan pengerusi penganjur persidangan itu, serta penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM).

Raja Permaisuri bertitah, OB-PS ialah cabang pengumpulan dana Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) dan Malaysia turut menyumbang kepada organisasi berkenaan berikutan pengambilan ramai ahli baharu di negara ini.

"Apa sahaja yang disumbangkan kepada kami (OB-PS) dikembalikan kepada dunia untuk melatih wanita dan gadis supaya dapat bersuara, berdiri sendiri (dan) menjadi pemimpin akan datang kepada generasi masa depan.

"Saya berharap persidangan ini menggalakkan pelaburan, pendidikan dan sumber untuk membantu gadis menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah dan saksama buat semua," titah baginda.

OB-PS menyokong misi WAGGGS dengan melabur dalam kepimpinan masa depan wanita muda, yang akan memimpin keluarga mereka, komuniti, negara dan dunia.

Artikel Berkaitan:

Persidangan OB-PS diadakan setiap tahun untuk mengumpulkan ahlinya yang mempunyai kepentingan sama bagi menyediakan sokongan kewangan kepada WAGGGS dan memastikan aliran pendapatan yang stabil dengan membiayai kerja, projek, program dan perkhidmatannya.

Tahun ini, persidangan yang julung kali diadakan di Malaysia sejak 1998, bertujuan meraikan dan menyokong WAGGGS dan membincangkan pertumbuhan dan perkembangan wanita muda serta memperkasakan mereka untuk menjadi pemimpin dunia masa depan.

Dengan tema 'Changemakers - Young Women', persidangan yang bermula semalam hingga 16 Oktober ini diadakan di dua lokasi iaitu Resorts World Genting, di sini (12-14 Oktober) dan Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur (14-16 Oktober).

Persidangan empat hari itu mengumpulkan lebih 360 peserta dari 17 negara termasuk United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Nigeria, Korea dan Jepun.

Puteri Benedikte dari Denmark yang juga penaung OB-PS, turut berangkat ke persidangan hari ini dan berkenan mengurniakan lebih 140 anugerah termasuk Princess Benedikte Award (PBA) serta OB-PS Members, Gold, Global dan President Award. - Bernama