Pengajian hadis perlu dihayati secara syumul

Semua pihak perlu berperanan dan beramal kepada sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber utama Islam

SELAIN al-Quran, dalami pengajian hadis dengan guru yang faqih supaya kita memahaminya dengan sempurna. -Foto: 123RF
SELAIN al-Quran, dalami pengajian hadis dengan guru yang faqih supaya kita memahaminya dengan sempurna. -Foto: 123RF
A
A
A

MENGAKU sebagai umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak beramal dengan sunnah Baginda. Bunyinya kedengaran agak janggal, namun demikianlah realitinya.

Walaupun bukan semua bersikap demikian, tetapi sewajarnya itulah yang patut kita lakukan. Jika tidak semua, memadailah satu atau dua sunnah Baginda yang diaplikasi saban hari dalam melayari kehidupan.

Portal myhadith.islam.gov.my memberikan definisi sunnah adalah apa juga yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dari segi perkataan, perbuatan, perakuan, sifat fizikal dan akhlak sama ada sebelum dilantik menjadi rasul atau sesudahnya.

Disebabkan itu, Naib Yang Dipertua 1 Persatuan Ulama Malaysia, Dr Fauzi Deraman menyarankan agar semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu berperanan dan berkhidmat kepada sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber utama Islam.

DR FAUZI
DR FAUZI

Jelas agamawan tersebut, pelbagai bentuk sumbangan boleh diberikan terhadap pengajian hadis.

“Jika diteliti, hadis sebenarnya sama dengan ilmu-ilmu yang lain juga, tetapi sebagai sumber utama Islam, ia wajar diberi penekanan supaya dapat dihayati secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

“Paling penting, umat Islam dapat berinteraksi dengannya penuh sempurna,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Sebagai tokoh yang faqih dalam bidang hadis, Dr Fauzi melihat pihak berwajib telah dan akan terus menggembleng pakar dalam usaha untuk arus perdanakannya.

“Banyak usaha dilakukan antaranya termasuklah pengajian dan pengajaran, penulisan, perterjemahan karya-karya hadis, kajian berkaitan as-Sunnah, pendigitalan, memelihara keaslian hadis terutama membabitkan riwayat daif dan palsu, selain menyediakan garis panduan dalam penulisan bidang berkenaan.

“Semoga usaha itu berterusan dan ditingkatkan lagi,” ungkapnya.

Pun demikian, menurut beliau, pengajian hadis di negara ini khususnya, bahkan di nusantara dilihat masih ketinggalan berbanding dengan al-Quran.

“Buktinya, semak sahaja karya berkai al-Quran dan hadis, bandingkan juga jumlah institusi pengajian kedua-duanya iaitu sekolah tahfiz dan dar al-hadis.

“Hakikatnya, bidang itu mempunyai puluhan ilmu berkaitan. Malangnya sehingga hari ini, hanya beberapa jenis sahaja yang dipelajari oleh pelajar dalam bidang al-Quran,” ungkapnya.

BERPEGANG teguhlah kepada al-Quran dan hadis yang akan menyelamatkan diri daripada kesesatan. -Foto: 123RF
BERPEGANG teguhlah kepada al-Quran dan hadis yang akan menyelamatkan diri daripada kesesatan. -Foto: 123RF

Usul al-hadis

Kepada satu soalan, Dr Fauzi menjawab: “Setiap ilmu utama dalam Islam ada pengantarnya untuk mendedahkan asas kepada lingkungan pengetahuan tersebut.

“Sepertimana bidang fiqh ada usul fiqh, al-Quran pula dengan ulum al-Quran dan tafsir dengan usul al-tafsir, begitu juga dengan hadis yang mempunyai ulum ataupun usul al-hadis.

“Semuanya perlu untuk membolehkah ilmu-ilmu berkenaan dapat difahami secara tersusun. Tanpa ulum hadis, seseorang akan gagal untuk memahami as-Sunnah itu sendiri.”

Ketika ditanya tentang Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang menjadi polemik dan ditentang dalam kalangan bukan Islam, Dr Fauzi menyifatkan isu itu kerana tidak kenal dan jahil tentangnya.

“Itulah yang disebut oleh pepatah Arab yang menyebut bahawa seseorang akan memusuhi apa yang mereka tidak kenal dan tidak tahu.

“Sedangkan, hadis sudah lama diajar di sekolah sebagai sebahagian daripada subjek Pendidikan Islam. Topik yang dibincangkan dalam Hadis 40 Imam Nawawi adalah perkara-perkara asas berkait Islam dan hukum-hakamnya,” katanya berharap supaya pihak yang membantah itu jelas mengenainya.

SEMUA pihak tanpa mengira latar belakang perlu berperanan dan berkhidmat kepada sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber utama Islam. -Foto: 123RF
SEMUA pihak tanpa mengira latar belakang perlu berperanan dan berkhidmat kepada sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber utama Islam. -Foto: 123RF

ANEKDOT

Peranan hadis dalam Islam

1. Sebagai penyokong dan penguat kepada al-Quran.

Fungsi itu berlaku sekiranya kandungan as-Sunnah sama dengan al-Quran.

Sebagai contoh hadis yang bermaksud: “Islam dibina di atas lima asas; menngucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadan dan menunai haji bagi sesiapa yang mampu.”

Hadis berkenaan bertepatan dengan firman-firman ALLAH yang mengandungi perintah supaya mengerjakan solat, puasa, haji dan zakat.

2. Penghurai dan penjelas kepada kandungan al-Quran.

Ia sama ada dengan memperincikan perkara umum, menjelaskan kesamaran dan mengkhususkan yang am serta mengehadkan yang tiada hadnya.

Misalnya, Rasulullah SAW menerangkan bagaimana cara untuk menunaikan solat, puasa, zakat dan lain-lain. Hukumnya datang secara umum dalam kalam ALLAH tanpa menghuraikannya lebih jelas.

3. Hadis menunjukkan kepada sesuatu hukum yang tidak dinaskan oleh al-Quran.

Dalam sebuah hadis, ada memerihalkan tentang laut. Rasulullah SAW bersabda: “Suci airnya dan halal bangkainya.”

Begitu juga dengan hadis yang mengharamkan daripada memakan daging haiwan-haiwan liar yang bertaring.

Sumber: https://ejournal.um.edu.my