Biar mereka yang layak dapat nikmat subsidi

Sebanyak 35 peratus golongan kaya (T20) menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai RM17.8 bilion pada tahun lalu sahaja. - Gambar hiasan
Sebanyak 35 peratus golongan kaya (T20) menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai RM17.8 bilion pada tahun lalu sahaja. - Gambar hiasan
A
A
A

PETANG ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2024 dan pastinya seluruh rakyat menantikan apakah inisiatif dan insentif yang bakal mereka nikmati sepanjang tahun depan.

Bagi pembentangan belanjawan kali ini, isu subsidi bersasar yang akan diperincikan sudah semestinya menjadi antara topik tumpuan. Ini kerana sejak sekian lama, Malaysia mempraktikkan subsidi pukal di mana semua peringkat pendapatan rakyat menerima subsidi untuk barangan keperluan utama dan bahan api.

Subsidi pukal ini menyaksikan selama berpuluh tahun kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan amat besar untuk menampung keperluan berkenaan.

Contohnya untuk subsidi petrol, sebanyak 35 peratus golongan kaya (T20) menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai RM17.8 bilion pada tahun lalu sahaja.

Masalah subsidi pukal seperti ini ialah ia menguntungkan mereka yang paling banyak menggunakannya. Parlimen baru-baru ini diberitahu, kumpulan T20 mendapat lebih daripada sepatutnya dalam subsidi bahan api. Mereka hanya 20 peratus daripada populasi tetapi menikmati 35 peratus subsidi bahan api.

Manakala untuk keseluruhan perbelanjaan subsidi pukal, kerajaan terpaksa memperuntukkan sebanyak RM80 bilion setahun untuk tujuan berkenaan. Namun semua golongan daripada B40 sehingga T20 dapat merasai nikmati subsidi berkenaan.

Oleh itu, apabila kerajaan mahu melakukan reformasi dan menukar polisi daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kita patut sokong usaha kerajaan itu. Ini kerana biarlah mereka yang benar-benar layak menikmati subsidi barangan keperluan, petrol, gas dan elektrik menerimanya.

Golongan B40 dan juga sebahagian daripada kumpulan M40 yang saban hari terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan perlu dibela dengan terus dapat menikmati subsidi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa yang sama, jika subsidi bersasar ini dilaksanakan, kerajaan dapat menjimatkan sehingga RM9 bilion setahun dan lebihan peruntukan berkenaan boleh digunakan untuk tujuan pembangunan lain yang boleh dinikmati rakyat secara sama rata.

Justeru itu, langkah memperbetulkan pemberian subsidi ini akan dapat membela rakyat dan perkukuhkan ekonomi negara.