Hanya seminit barang kemas RM20,000 lesap

Suspek bersenjatakan tukul memecahkan cermin pameran dan melarikan barang kemas.
Suspek bersenjatakan tukul memecahkan cermin pameran dan melarikan barang kemas.
A
A
A

BERUAS - Dua lelaki hanya mengambil masa 60 saat untuk melarikan barang kemas bernilai RM20,000 dalam kejadian samun di Jalan Besar, Pekan Beruas di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun bersama ibunya baharu buka kedai sebelum didatangi suspek yang bersenjatakan tukul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, maklumat awal mendapati suspek menaiki sebuah motosikal berwarna merah.

"Ketika kejadian, mangsa berada di kaunter manakala ibunya berada di belakang telah didatangi dua suspek bersarung muka penuh, berkaca mata hitam dan memakai sarung tangan.

"Suspek pertama berbadan gempal telah memecahkan cermin kaca pameran dan menarik beberapa utas gelang tangan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa gagal menangkap suspek kedua yang berbadan kurus ketika dia berjaya memegang tangannya.

"Mangsa cuba menarik tangan suspek kedua yang ketika itu cuba mengambil emas namun suspek berjaya melepaskan tangan dan seterusnya melarikan diri.

"Pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai 10 CCTV (kamera litar tertutup) tetapi kesemuanya rosak dan dalam proses pembaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anuar berkata, mangsa juga gagal mengecam serta mengenal pasti bangsa kedua-dua suspek tersebut dan hanya mengecam warna motosikal suspek.

"Mangsa menyatakan perniagaan yang diwarisi daripada keluarga sejak 60 tahun lalu tidak mempunyai insurans berikutan perniagaannya kecil selain harga insurans yang mahal.

"Siasatan di tempat kejadian dijalankan oleh Pasukan Forensik, IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Perak bagi mengesan cap jari pada cermin kaca kaunter," katanya.

Katanya, polis sedang mengesan kedua-dua suspek menerusi CCTV seluruh kawasan berhampiran selain memperolehi maklumat daripada saksi awam.