MyAirline perlu bayar balik tiket penerbangan penumpang

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline bertanggungjawab untuk membuat pembayaran balik kepada penumpang yang telah membeli tiket penerbangan tetapi tidak dapat melakukan perjalanan susulan pengumuman penggantungan operasi.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah mengarahkan MYAirline untuk segera menguruskan pengguna yang terjejas termasuk memaklumkan mengenai penggantungan operasi melalui saluran komunikasi yang tersedia.

"MYAirline juga telah diarahkan untuk menghentikan penjualan dan tempahan tiket penerbangan serta-merta dari semua platform," katanya menerusi kenyataan pada Khamis

Ujar suruhanjaya itu, pengguna yang terjejas menghubungi syarikat penerbangan itu untuk pertanyaan dan bantuan berkenaan dengan tempahan mereka menerusi customercare@myairline.my.

MAVCOM turut menyediakan saluran khusus untuk membantu pengguna terjejas di talian 1800-18-6966 (dalam Malaysia) atau 603-7651 2777 (luar negara) selain emel consumer@mavcom.my.

Sementara itu, Mavcom memaklumkan pihaknya sedang menyiasat MyAirline berdasarkan semakan dalaman dan aduan yang diterima mengenai pembayaran berkanun yang belum dibayar kepada pekerjanya.

"Mavcom akan menyediakan perkembangan lanjut berkenaan dengan operasi MYAirline dalam masa terdekat," kata suruhanjaya itu.

MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa Khamis.

Artikel Berkaitan:

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata, penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Tekanan kewangan antara punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat.