NFCorp diperintah bayar balik RM33.7 juta kepada kerajaan

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan 10 pihak lain membayar balik RM33.7 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan kepada kerajaan.

Hakim, Anand Ponnudurai memutuskan demikian selepas membenarkan saman Kerajaan Malaysia terhadap NFCorp dan 10 defendan lain antaranya Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak.

Kerajaan sebelum ini memohon untuk mendapatkan RM253.6 juta pembayaran pinjaman dan faedah berhubung projek berkenaan namun gagal kerana mahkamah hanya membenarkan sebahagian jumlah itu dipulangkan semula.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Anand berkata, defendan perlu membayar RM33,743,591.37 sebagai bahagian yang tidak digunakan daripada jumlah pinjaman.

"Plaintif (kerajaan) berhak menerima RM86.9 juta yang dirampas daripada defendan yang kini dipegang oleh Ketua Akaun secara eskrow.

"11 defendan ini perlu memulangkan tanah di Gemas, Putrajaya dan hartanah One Menerung di sini, yang dibeli dengan jumlah pinjaman, untuk dikembalikan kepada kerajaan yang merupakan pemilik benefisial hartanah tersebut," katanya.

Dalam penghakiman sama, hakim ini membenarkan tuntutan balas NFCorp selepas berpuas hati kerajaan didapati melanggar terma perjanjian pinjaman dan perjanjian implementasi yang dimeterai oleh kedua-duanya serta memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 kepada syarikat itu.

Beliau berkata, kerajaan telah melanggar perjanjian implementasi kerana menggantung projek itu secara unilateral sedangkan pembayaran ansuran untuk tahun 2012 dan 2013 telah dilunaskan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes ini, kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan dan Asliza Ali sementara peguam, Datuk K Kirubakaran mewakili 11 defendan.

Dalam saman itu, kerajaan selaku plaintif menamakan NFCorp sebagai defendan pertama, manakala Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang merupakan suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, serta tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing sebagai defendan kedua hingga kelima.

Perbicaraan itu bermula 2021, dengan plaintif mengemukakan tujuh saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Pembendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir manakala defendan memanggil lima saksi termasuk Mohamad Salleh untuk memberi keterangan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFCorp pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi NFCorp Gemas selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman itu disalurkan kerajaan kepada NFCorp dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan akhbar, Kirubakaran berkata, mahkamah ini mendapati tiada penyalahgunaan wang pinjaman dan tiada pelanggaran 'fiduciary duties' oleh defendan-defendan.

Susulan itu, beliau berkata, mahkamah membebaskan keluarga

Salleh dan defendan-defendan dari semua pertuduhan penyelewengan.

"Mahkamah memutuskan, tiada kesalahan undang-undang bagi

defendan menggunakan sebahagian daripada jumlah wang pinjaman untuk melabur dalam hartanah atas nama syarikat.

"NFCorp tidak melanggar perjanjian pinjaman dan perjanjian

Pelaksanaan dalam hal ini, maka mahkamah memerintahkan aset pelaburan dipindah milik kepada kerajaan," katanya.