Tak sempat jual ketum

Air ketum dalam tong ais yang ditemui di kawasan rumah yang diserbu polis.
Air ketum dalam tong ais yang ditemui di kawasan rumah yang diserbu polis.
A
A
A

BACHOK - Cubaan seorang lelaki melarikan diri dan meninggalkan 55.7 kilogram (kg) daun ketum serta 97 liter air ketum yang dipercayai sedang diproses, gagal apabila ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Permatang Machang, Jelawat di sini, pada Selasa.

Buruh binaan yang berusia 37 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu bersama anggota polis bantuan daripada balai daerah terbabit, Gunong dan Tawang.

Katanya, ketika serbuan itu, suspek dipercayai leka memproses air ketum dan sedang menunggu pembeli.

“Pemeriksaan polis menjumpai sebahagian daun tersebut yang masih dalam gulungan plastik dan sebahagian lagi di dalam sebuah periuk manakala bungkusan plastik berisi air ketum terdapat dalam satu tong ais.

Sebahagian daun ketum dalam sebuah periuk.
Sebahagian daun ketum dalam sebuah periuk.

“Ketika serbuan, suspek yang berada di luar rumah tersebut bertindak melarikan diri ke bahagian belakang rumah itu sehingga berlaku pergelutan namun berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Rabu.

Menurut beliau, keseluruhan daun ketum dan air ketum yang dijumpai itu dianggarkan bernilai RM1,527 serta dirampas untuk tindakan lanjut,

Artikel Berkaitan:

Kata Mohamad Ismail, seterusnya pihak polis menjalankan siasatan melalui ujian urin ke atas air kencing suspek dan membuat semakan rekod lampau.

“Hasil saringan air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis metamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Oktober ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.