X

Kindly register in order to view this article
!

Surau, masjid perlu dihidupkan

Gambar kiri: Tuan Badrul, gambar kanan: Noor Azman
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat perlu menghidupkan institusi kewangan tidak formal seperti surau dan masjid yang dilihat sangat berpotensi dalam membangunkan ekonomi serta masyarakat Islam secara keseluruhan.

Pensyarah dari Fakulti Ekonomi Pengurusan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Noor Azman Ali berkata, di Malaysia terdapat lebih 6,000 surau dan lebih 13,000 masjid yang mempunyai kedudukan kewangan yang sangat besar.

Menurutnya, rata-rata masyarakat Islam hari ini tidak menyedari hal ini, sedangkan wang yang disumbangkan dan disimpan di sebuah surau secara purata boleh mencecah sehingga RM30,000 dan kira-kira RM50,000 bagi masjid besar.

"Bayangkan jika kita ambil keseluruhan 23,000 surau dan masjid seluruh negara, dianggarkan terdapat kira-kira RM1.5 bilion wang yang terikat dalam surau dan masjid.

"Wang itu adalah ekonomi orang Islam sebenarnya. Maka surau dan masjid, kedua-duanya perlu dihidupkan atau dijanakan untuk sama ada aktiviti keilmuan, sosial dan mengangkat imej Islam itu sendiri," katanya sebagai panelis pada wacana ke-147 di Dewan Karangkraf di sini semalam.

Noor Azman berkata, disebabkan jumlah wang yang besar disimpan oleh masjid dan surau, kedua-dua institusi kewangan tidak formal itu juga sebahagiannya dilihat mampu memberi biasiswa kepada anak-anak yang belajar di pusat pengajian Islam di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Masjid dan surau ini membiaya anak-anak ini belajar agama dan selepas mereka menamatkan pengajian perlu balik berkhidmat atau memberi sumbangan semula kepada masyarakat.

"Ini juga kita sebut sebagai konsep wakaf dalam bentuk ilmu dan sedar atau tidak, selain bank, institusi kewangan tidak formal seperti surau dan masjid ini sebenarnya turut membangunkan masyarakat Islam secara keseluruhannya," katanya.

Selain itu, kita juga mempunyai banyak institusi kewangan lain seperti pusat zakat, baitulmal termasuk institusi pengurusan dana Islam paling besar seperti Tabung Haji.

Dalam pada itu, Noor Azman turut menekankan berkenaan konsep wakaf yang mana ia boleh dimainkan oleh masyarakat sebagai salah satu aktiviti ekonomi sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara.

Menurutnya, wakaf juga bertepatan dengan konsep ekonomi berkebajikan dan ia bertujuan untuk menyumbang kepada keperluan masyarakat secara keseluruhan tetapi bukan untuk pulangan duniawi sebaliknya ukhrawi.

"Wakaf juga terdiri daripada wakaf tunai, wakaf fizikal seperti bangunan untuk menjalankan aktiviti harian serta aktiviti sosial masyarakat Islam dan wakaf juga tidak tertakluk kepada bank.

"Sekarang terdapat juga wakaf ilmu yang disumbangkan masyarakat kepada sekolah agama, maahad tahfiz serta sekolah Kafa (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain). Dengan sumbangan kita, anak-anak di sekolah itu boleh praktis bacaan al-Quran sehingga besar dan tua, jadi itu wakaf ilmu kita," katanya.

Sementara itu, Perunding Syariah di ISRA Consulting, Dr Tuan Badrul Hisham Tuan Soh menambah, wakaf merupakan instrumen yang lain daripada bank tetapi sangat berkesan untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat.

"Bagaimanapun dalam konteks hari ini, wakaf juga menjadi produk bank dan kini terdapat enam buah bank yang memperkasakan wakaf.

"Bank selaku institusi kewangan bersifat 'profit oriented' semestinya sudah melihat bahawa wakaf ini selain imbuhan-imbuhan bersifat spiritual dan ukhrawi, ia juga satu instrumen kewangan yang boleh memberi pulangan baik dalam sistem ekonomi yang ada hari ini," katanya.

Katanya, masyarakat juga perlu digembleng dari segi usaha untuk terus memperkasa operasi wakaf serta memastikan ia kekal lestari, memberi manfaat bersifat umum dan bukan untuk kumpulan atau kepentingan pihak-pihak tertentu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus