55 kenderaan disita dilelong

Proses lelongan 55 buah kenderaan yang disita dilakukan oleh JPJ KL di Kuala Lumpur pada Rabu.
Proses lelongan 55 buah kenderaan yang disita dilakukan oleh JPJ KL di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 55 buah kenderaan disita berjaya dilelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur pada Rabu.

Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Erick Jusiang berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 kenderaan yang dilelong itu boleh dilesenkan, manakala selebihnya dijadikan kenderaan scrap.

Beliau berkata, lelongan yang dilakukan di Dewan Merpati JPJ WPKL itu melibatkan 46 buah motosikal, kereta (7 buah) serta van (2 buah).

Kata beliau, sejumlah 46 orang pembida terlibat dalam sesi lelongan kenderaan yang disita oleh JPJ WPKL.

"Kriteria kelayakan bagi pembida yang menyertai lelongan tersebut adalah mereka yang telah membeli dokumen penjualan lelong dan menandatangani pengakuan menyertai lelongan diadakan.

"Hanya mereka ini yang dibenarkan mengambil bahagian dalam penjualan lelongan kenderaan disita oleh JPJWPKL," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Selain itu katanya, syarat bagi pembida yang ingin membida kenderaan berstatus scrap perlu mempunyai sijil pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) yang masih berkuatkuasa di bawah kod bidang 221901@221902.

Erick berkata, harga lelongan tertinggi yang berjaya dilakukan adalah sebanyak RM9,800 membabitkan van jenis Pregio.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, harga lelongan terendah adalah sebanyak RM150 melibatkan sebuah motosikal yang akan dijadikan scrap.

"Kesemua kenderaan yang mahu dilelong pada hari ini telah berjaya dilepaskan kepada pemilik baharu dan jumlah kutipan dicatatkan sebanyak RM70,925," ujarnya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!