Belanjawan 2024: Cadang skim pencen kepada pesawah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pesawah di Selangor berharap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif baharu dalam pembentangan Belanjawan 2024.

Seorang pesawah dari Parit 4, Sungai Burong, Khairul Azrin Mat, 45, berkata, kerajaan dicadang mewujudkan skim pencen kepada pesawah berusia 60 tahun ke atas di seluruh negara.

Khairul Azrin yang mengusahakan bendang seluas empat hektar berkata, skim itu penting kepada golongan berkenaan bagi meringankan beban pesawah yang rata-ratanya tidak lagi mampu turun ke bendang selepas usia emas.

“Saya merayu kerajaan dapat memikirkan masa depan pesawah yang selama ini membanting tulang bagi menjamin pengeluaran hasil beras negara.

“Kita berharap skim ini diberikan kepada mereka yang terlibat secara aktif sebagai pesawah melebihi 20 tahun ke atas dengan nilai bantuan sekurang-kurangnya RM500 sebulan,” katanya.

Pesawah dari Sungai Burong, Sudirman Dasuki, 54, berkata, kerajaan disaran menyediakan peruntukan baik pulih dan membina rumah pesawah sama seperti dinikmati golongan nelayan.

Jelasnya, bantuan tersebut amat diperlukan pesawah yang kebanyakannya masih menduduki rumah lama dalam keadaan daif dan uzur.

“Kami minta kerajaan pertimbangkan inisiatif itu kerana kebanyakan rumah kami berisiko dilanda ribut.

Artikel Berkaitan:

“Setiap tahun ada sahaja bumbung rumah penduduk tercabut dan diterbangkan ribut disebabkan kawasan sawah berisiko tinggi dan menjadi laluan angin,” luahnya yang mengusahakan tanaman seluas 3.2 hektar.

Seorang lagi pesawah di Sawah Sempadan, Burhanuddin Halimi, 53, berkata, pesawah mencadangkan kerajaan menyediakan skim insurans bagi perlindungan diri dan tanaman padi.

Pada masa ini katanya, tiada skim insurans diperkenalkan kerajaan melainkan atas inisiatif pesawah untuk mendapatkan perlindungan.

“Insurans perlindungan diri ini boleh didapati melalui pelan disediakan Agrobank dengan anggaran RM50 semusim tetapi untuk perlindungan insurans tanaman masih belum diperkenalkan.

“Kita berharap kerajaan menyediakan kedua-dua pelan insurans tersebut dalam Belanjawan 2024 bagi meringankan beban pesawah jika ditimpa kemalangan atau tanaman padi rosak akibat bencana dan sebagainya,” tambahnya.