Bayaran balik cukai oleh kerajaan meningkat RM25.72 bilion pada 2022

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedudukan komitmen bayaran balik cukai oleh kerajaan meningkat 17.8 peratus kepada RM25.72 bilion pada 2022 daripada RM21.84 bilion pada 2021, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2022.

Daripada amaun tersebut, RM24.26 bilion adalah bayaran balik cukai pendapatan, iaitu peningkatan 20.2 peratus daripada RM20.19 bilion yang dibayar balik pada 2021, jelasnya.

Menurut LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa itu, bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan meningkat 13.4 peratus kepada RM686.06 juta pada 2022, manakala bayaran balik cukai keuntungan harta tanah turun 25.6 peratus kepada RM771.69 juta daripada RM1.04 bilion pada 2021.

Bayaran balik cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah menggunakan peruntukan daripada Kumpulan Wang Amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC), tambah laporan itu.

Laporan itu memaklumkan sebanyak RM22 bilion telah diperuntukkan bagi tujuan bayaran balik cukai pada 2022.

"Sejumlah RM14.01 bilion komitmen bayaran balik cukai telah dilunaskan menggunakan peruntukan berkenaan. Baki TBBC pada akhir 2022 adalah berjumlah RM10.19 bilion,” jelasnya.

Sementara itu, LKAN menjelaskan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan adalah diuruskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pelunasan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan pada 2022 adalah berjumlah RM313 juta, dan bayaran balik tersebut menggunakan dana Kumpulan Wang Bagi Bayaran Balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan, jelasnya.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan Wang telah menerima kutipan cukai sebanyak RM299 juta dan berbaki sebanyak RM262.63 juta pada akhir 2022,” tambah laporan itu.

Mengenai komitmen pampasan kelewatan bayaran balik cukai, laporan itu menjelaskan sehingga akhir 2022, amaun pampasan yang layak dibayar berjumlah RM103.07 juta dan melibatkan 132,516 pembayar cukai kategori syarikat dan 19,253 pembayar cukai dalam kategori selain syarikat.

"Pada 2022, LHDN telah menjelaskan bayaran pampasan sebanyak RM7 juta kepada 3,822 pembayar cukai,” jelasnya. - Bernama