LKAN: Hutang kerajaan meningkat kepada RM1.08 trilion

Wan Suraya - Foto Bernama
Wan Suraya - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Hutang kerajaan direkodkan sebanyak RM1.08 trilion, iaitu meningkat 10.2 peratus atau RM99.777 bilion pada akhir 2022 berbanding RM979.814 bilion pada 2021.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, nisbah hutang Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pula dicatatkan pada kadar 60.3 peratus.

“Kedudukan hutang Persekutuan terdiri daripada pinjaman dalam negeri berjumlah RM1.05 trilion atau 97.3 peratus manakala hutang luar negeri berjumlah RM29.513 bilion (2.7 peratus).

“Pinjaman dalam negeri mencatatkan peningkatan berjumlah RM99.994 bilion atau 10.5 peratus manakala hutang luar negeri berkurangan RM0.218 bilion atau 0.7 peratus,” katanya dalam kenyataan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2022.

Dalam pada itu Wan Suraya berkata, nisbah statutori hutang Persekutuan yang membabitkan Bil Perbendaharaan Islamik, Terbitan Pelaburan Kerajaan dan Sekuriti Kerajaan Malaysia berjumlah RM1.032 trilion, bersamaan 57.6 peratus kepada KDNK berbanding 59.6 peratus pada 2021.

Nisbah tersebut merupakan di bawah had statutori 65 peratus kepada KDNK yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2022 mengikut Seksyen 2 Akta A1635.

Sementara itu, kedudukan Liabiliti Persekutuan meningkat RM94.116 bilion atau 7.2 peratus menjadi RM1.399 trilion, berbanding RM1.305 trilion pada 2021.

Wan Suraya berkata, nisbah Liabiliti Persekutuan kepada KDNK pula 78.1 peratus, iaitu menurun berbanding 84.3 peratus pada 2021.

Artikel Berkaitan:

“Liabiliti Kewangan terdiri daripada Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan Komitmen Kewangan serta Pelbagai Liabiliti dicatatkan sebanyak RM319.571 bilion berbanding RM325.23 (2021).

“Liabiliti PFI berjumlah RM34.492 pada 2022 dan kedudukan baki ini berkurangan RM1.083 bilion atau tiga peratus. Sejumlah RM2.493 bilion telah dibelanjakan bagi melunaskan prinsipal pinjaman dan bayaran faedah,” jelasnya.