Sumbangan PMKS kepada ekonomi RM540.8 bilion pada 2022

Ewon (tengah) pada majlis sidang media Prestasi PMKS 2022 di Bangi, pada Selasa.
Ewon (tengah) pada majlis sidang media Prestasi PMKS 2022 di Bangi, pada Selasa.
A
A
A

PERUSAHAAN Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dengan pertumbuhan sebanyak 11.6 peratus dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2022 berbanding 1.3 peratus pada tahun 2021.

Ia termasuk sumbangan PMKS kepada KDNK meningkat daripada 37.4 peratus pada tahun 2021 kepada 38.4 peratus tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan PMKS itu juga kembali mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan pada kadar 8.7 peratus pada 2022 berbanding 3.3 peratus pada 2021.

"Ini menjadikan sumbangan PMKS kepada ekonomi negara meningkat daripada RM520 bilion pada tahun 2021 kepada RM580.4 bilion pada tahun 2022," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sidang media Prestasi PMKS 2022, di Bangi, pada Selasa.

Tambah Ewon, eksport PMKS turut melonjak dengan peningkatan sebanyak RM20.2 bilion pada tahun 2022 iaitu RM144.5 bilion berbanding RM124.3 bilion pada tahun 2021.

Bagaimanapun ujarnya, peratus sumbangan PMKS kepada jumlah eksport menurun kepada 10.5 peratus pada tahun lepas berbanding 11.4 peratus pada tahun 2021.

"Ia memandangkan eksport oleh syarikat besar dan multinasional berkembang pada kadar yang lebih tinggi," ujarnya.

Berikutan itu, beliau berkata, dalam usaha merangsang pertumbuhan PMKS agar lebih berdaya tahan dan mampan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan terus komited untuk memperkukuhkan pelaksanaan program pembangunan perusahaan tersebut secara bersasar.

Ewon turut memaklumkan terdapat 225 program pembangunan PMKS yang sedang giat dilaksanakan oleh 12 Kementerian termasuk 56 agensi dan tujuh kerajaan negeri setakat ini dengan peruntukan sebanyak RM10.6 bilion.

"Momentum pemulihan dan pembangunan PMKS dijangka terus kukuh pada tahun 2023 seiring dengan penekanan yang diberikan oleh kerajaan kepada PMKS di bawah Kerangka Ekonomi Malaysia Madani," ujarnya.

Jelasnya, antara strategi dan inisiatif ialah pengantarabangsaan PMKS tempatan dan menarik lebih ramai pelabur.

"Selain itu, menambah geran padanan digitalisasi sebanyak RM100 juta bagi membantu PMKS beralih kepada digitalisasi dan peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi termasuk SME Corp dan TEKUN Nasional," katanya.