Larangan merokok dan vape di semua tempat makan bermula Januari

GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengumumkan larangan menghisap rokok dan vape di semua tempat makan di seluruh Malaysia dikuatkuasakan bermula 2020.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM250 namun boleh dikurangkan ke RM150 jika denda itu dibayar dalam tempoh kurang dari sebulan.
“Kalau degil (dan) tidak mahu bayar boleh dikenakan saman maksimum hingga RM10,000,” katanya di sidang media selepas merasmikan Seminar Kerintangan Antimikrob (AMR) yang dianjurkan di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam.
Seminar sehari itu menumpukan kepada bahaya dan ancaman AMR, satu keadaan di mana mikrob seperti bakteria, virus, fungus dan parasit menjadi imun terhadap ubat dan antibiotik.