Permohonan Najib batal saman Deepak didengar 6 Mei

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan saman daripada Pengarah Carpet Raya Sdn Bhd, Deepak Jaikishan didengar Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Mei tahun depan.

Peguam Nasbal Harun yang mewakili Deepak berkata, Najib, Rosmah, Abdul Aziz membuat permohonan itu pada 24 September lalu.

Menurutnya, pihak mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Februari.

“Pihak pembelaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman kerana dakwaan yang dibuat bersifat remeh malah mereka percaya plaintif tidak mempunyai alasan kukuh untuk mengambil tindakan tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi pengurusan kes itu, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon.

Peguam, Cheryl Chong Wei Teng mewakili Najib dan Rosmah manakala peguam Arwindar Jill bertindak bagi pihak Abdul Azeez.

Selain mewakili Deepak, Nasbal turut mewakili dua plaintif lain iaitu Carpet Raya dan adiknya, J Rajesh.

Terdahulu, dalam saman yang difailkan pada 15 November 2018, Deepak mendakwa antara 2004 dan 2010, beliau dan syarikat bertindak sebagai ejen kepada Najib dan Rosmah dalam urus niaga tanah serta urusan perniagaan seperti yang diarahkan oleh pasangan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mendakwa defendan ketiga (Abdul Azeez) bertindak sebagai ejen untuk Najib dan Rosmah untuk menjalankan urus niaga serta bertindak sebagai perantara antara pasangan dan plaintif kedua, Karpet Raya.

Deepak mendakwa, hasil transaksi itu, beliau menerima surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai yang dikenakan oleh Carpet Raya dan cukai pendapatannya, berjumlah lebih RM6 juta tidak termasuk caj penalti dan faedah.

Deepak mendakwa dia menerima surat berkenaan selepas hubungannya dengan pasangan itu menjadi keruh pada tahun 2012.

Ia berikutan keengganannya untuk mematuhi arahan mereka dalam kes sivil yang melibatkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Plaintif mendakwa Najib dan Rosmah turut mengarahkan tindakan undang-undang dibuat terhadap Carpet Raya dan petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac 2017 oleh LHDN malah petisyen itu disiarkan di akhbar tempatan.

Mereka mendakwa akibat petisyen itu, perniagaan dan reputasi semua plaintif terjejas dan Deepak juga dilarang meninggalkan negara ini selain kemudahan perniagaan mereka ditarik balik oleh Maybank manakala kontrak syarikat dengan IKEA dibatalkan.

Mereka mahu mendapatkan pengisytiharan mahkamah, Najib dan Rosmah bertanggungjawab membayar tunggakan cukai yang dikenakan terhadap syarikat itu.

Mereka juga mahu ganti rugi sebanyak RM500,000 yang dibayar kepada Maybank; RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat untuk memenuhi kontrak dan jualannya; RM74 juta untuk pembatalan kontrak syarikat dengan IKEA; RM200 juta kerana dakwaan fitnah dan RM37 juta kerugian yang disebabkan oleh salah laku Najib.

Mereka juga mahu ganti rugi teladan sebanyak RM100 juta.