Banjir di Pasir Mas semakin buruk, mangsa bertambah

Keadaan di pintu masuk ke kawasan bebas cukai di Rantau Panjang.
Keadaan di pintu masuk ke kawasan bebas cukai di Rantau Panjang.
A
A
A

KOTA BHARU - Keadaan banjir di Pasir Mas semakin buruk apabila mencatatkan pertambahan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat setiap masa.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga jam 9 malam ini, jumlah mangsa meningkat hampir enam kali ganda iaitu 1,853 orang berbanding 312 pada jam 8 pagi tadi.

Pertambahan mangsa yang dipindahkan di Pasir Mas berikutan air di kawasan hulu semakin surut dan menghala ke jajahan tersebut.

Secara keseluruhan, mangsa banjir yang dipindahkan ke 22 PPS melibatkan jajahan Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah ialah 2,574 orang.

Kawasan sekolah di Rantau Panjang yang ditenggelami air.
Kawasan sekolah di Rantau Panjang yang ditenggelami air.

Di Pasir Mas, kesemua 1,853 mangsa melibatkan 701 keluarga kini dipindahkan ke sembilan PPS.

Mangsa yang paling ramai adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 yang menempatkan 537 orang terdiri daripada 226 keluarga.

Selebihnya ditempatkan di SK Kampung Rahmat (128 orang), Madrasah Kampung Tanjong Baru (22 orang), Dewan Rukun Tetangga Lubuk Stol (190 orang), Madrasah Bechah Kaki (120 orang), SK Gual Tinggi (484 orang), SK Kok Pauh (275 orang), SK Lubok Stol (74 orang) dan SK Tok Deh (23 orang).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengikut portal ebanjir.kelantan.gov.my pula, paras air di Sungai Golok Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.41 meter (bahaya 9m).

Berikutan itu, Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah di Kilometer 24 dan bypas Banggol Kulim-Rantau Panjang ditutup kepada kenderaan ringan.