Abdul-Munim Sombat Jitmoud dianugerahkan ikon rahmah

Mujahid (dua, kiri) menyampaikan anugerah pemilihan Ikon Rahmah kepada Abdul-Munim Sombat Jitmoud di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
Mujahid (dua, kiri) menyampaikan anugerah pemilihan Ikon Rahmah kepada Abdul-Munim Sombat Jitmoud di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Abdul-Munim Sombat Jitmoud, bapa yang memaafkan seorang lelaki yang dituduh terlibat dalam pembunuhan anaknya di Amerika Syarikat dua tahun lalu dipilih sebagai Ikon Rahmah atas sikap belas kasihan beliau yang telah menjadi contoh kepada masyarakat dunia.

Anugerah yang julung kali diadakan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam satu majlis ringkas di Kompleks Islam Putrajaya.

“Saya mewakili rakyat Malaysia melihat oleh kerana tindakannya yang begitu hebat sebagai manusia biasa telah mempromosikan kerahmatan agama Islam yang kebetulan menjadi dasar kepada kerajaan hari ini,” katanya ketika berucap di majlis tersebut di sini hari ini.

Jelasnya, Islam menerapkan keadilan ditegakkan dengan memberi balasan setimpal kepada setiap kesalahan seseorang, namun apa yang lebih besar daripada keadilan adalah sifat Rahmah yang bermaksud keampunan dan Abdul-Munim telah memberi contoh tersebut kepada dunia hari ini.

“Di saat dunia melihat Islam dalam perspektif yang negatif, melalui tindakan beliau memaafkan pembunuh anaknya, bagi saya, itu telah mencerminkan sifat Islam yang sebenar,” katanya.

Abdul-Munim yang memiliki kerakyatan Amerika Syarikat dan berasal dari Thailand, kini berada di Malaysia bagi memenuhi jemputan untuk menyampaikan ceramah di beberapa institusi termasuk di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Abdul-Munim berkata, banyak pihak sering bertanya bagaimana beliau mempunyai kekuatan untuk memaafkan perbuatan lelaki yang membunuh anaknya, beliau berkata, dengan cara mengampunkan lelaki yang membunuh anaknya, diharap lelaki itu berpeluang mengenali Islam.

“Saya juga ingin menasihati umat Islam di Malaysia untuk menjadi contoh kepada dunia dengan terlebih dahulu menjadi Muslim yang baik dan mempunyai nilai kekeluargaan yang tinggi mengikut ajaran Islam serta bersifat Rahmah kepada semua makhluk termasuk alam sekitar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Trey Alexander Relford berdepan hukuman mati selepas mengaku bersalah bersubahat dalam pembunuhan Salahuddin Jitmoud, yang menjadi mangsa rompakan sebelum ditikam ketika menjalankan tugasnya sebagai penghantar piza pada malam April 19 2015 di Lexington, Kentucky.

Bagaimanapun ayah Salahuddin, Abdul-Munim mengejutkan semua yang hadir di mahkamah termasuk hakim yang tidak dapat menahan air mata apabila beliau memaafkan Relford pada 7 November 2017.

Rakaman video saat yang menyentuh hati itu tular dan dilaporkan secara meluas oleh media di seluruh dunia.

Pada masa yang sama, Mujahid berkata, untuk tahun hadapan, pihaknya bercadang untuk melantik Abdul-Munim sebagai Duta Rahmah dalam membantu usaha kerajaan bagi mempromosi dasar Rahmatan Lil Alamin di seluruh negara. - Bernama