Tak puas hati diperiksa, lelaki tumbuk anggota polis

Gambar hiasan. Gambar kecil: Hanyan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Hanyan
A
A
A

KEMAMAN - Tak puas hati diperiksa anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis, seorang lelaki nekad menumbuk muka anggota terlibat sehingga cedera dalam kejadian di Jalan Bukit Anak Dara, Kijal di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa berpangkat Lans Koperal bersama rakan setugas menjalankan tugas rondaan keselamatan di kawasan berkenaan.

Menurut sumber, setibanya di lokasi, mereka ternampak seorang lelaki (suspek) berada dalam keadaan mencurigakan sebelum mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan ke atas lelaki itu.

Kata sumber, bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati tiada apa-apa barang yang menyalahi undang-undang bersama suspek, 23.

Kata sumber, seterusnya semakan lanjut terhadap kad pengenalan suspek juga mendapati dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

"Tetapi suspek secara tiba-tiba naik angin apabila bertindak luar kawal sebelum pergi ke arah kenderaan MPV lalu cuba membuka pintu sebelah pemandu.

"Tetapi tindakan suspek dihalang mangsa sebelum lelaki itu menumbuk mukanya di bahagian dahi lalu berlaku pergelutan di antara mereka dan akhirnya suspek berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, suspek kini direman mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.