Jadi 'keldai' dadah kerana terpedaya tawaran kerja, melancong

Antara dadah yang diikat di bahagian badan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Antara dadah yang diikat di bahagian badan bagi mengaburi pihak berkuasa.
A
A
A

SEPANG - Dijanjikan tawaran kerja dengan gaji lumayan sehingga RM10,000 selain pakej melancong ke negara luar.

Hakikatnya, sebenarnya itu adalah modus operandi sindiket pengedaran dadah yang mempergunakan mangsa untuk dijadikan 'keldai' dadah sebelum berjaya dikesan pihak berkuasa susulan tertangkapnya dua lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan kira-kira jam 12.05 tengah malam.

Menurutnya, pemeriksaan menemui bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.63 kilogram bernilai lebih RM100,000 yang dilekat di tubuh badan kedua-dua lelaki terbabit.

"Siasatan mendapati kedua-dua lelaki ini akan menaiki penerbangan ke Busan, Korea.

"Semakan turut mendapati salah seorang mereka merupakan penuntut di sebuah kolej swasta di Sarawak, manakala seorang lagi adalah tukang cat," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua 'keldai' dadah ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, Zulkifli mendedahkan, suspek dipercayai terpedaya dengan tawaran iklan pekerjaan dan pelancongan di laman sosial Facebook dan Wechat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tanpa menyedari, setelah dibayar upah pendahuluan serta memberi maklumat keluarga, mangsa yang terdesak memerlukan wang ini telah bersetuju dengan tawaran tersebut sebelum dipaksa sindiket dadah ini untuk membawa dadah ke luar negara.

Berdasarkan laporan statistik pada tahun lalu, seramai 18 orang 'keldai' dadah berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun termasuk dua wanita telah ditahan di KLIA dan KLIA2.

"Jumlah rampasan dadah pula sebanyak 30.8 kilogram yang dianggar bernilai jutaan ringgit," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran pekerjaan yang meragukan di laman sosial. Sekiranya meragui tawaran tersebut, salurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.