Penempatan di PPS perlu dinilai semula

Dr Sallehuddin (tengah) beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu di Rompin. - Foto: Media Pahang
Dr Sallehuddin (tengah) beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu di Rompin. - Foto: Media Pahang
A
A
A

KUANTAN - Penilaian semula akan dilakukan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang bagi memastikan selamat dan sesuai sebagai penempatan ketika banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kuasa Bencana Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, usaha itu bagi mengelak kejadian PPS dinaiki air berulang pada masa akan datang sehingga menyebabkan mangsa terpaksa berpindah ke PPS lain.

"Saya difahamkan beberapa mangsa banjir di PPS SK Pianggu yang sebelum ini ditempatkan di Dewan Kampung Desa Wawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terpaksa dipindahkan kerana PPS terlibat banjir selepas dua hari penempatan.

"Kita tidak mahu masalah ini berulang lagi. Jadi adalah penting penilaian semula dilakukan bagi memastikan semua mangsa yang selamat dan selesa ketika berada di PPS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Sallehuddin mengadakan lawatan kerja ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu di Rompin.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Zakaria Ibrahim dan Pemangku Pegawai Daerah Rompin, Datuk Zaliza Zulkipli.

Dalam perkembangan lain, Dr Sallehuddin yang juga Setiausaha Kerajaan Pahang berkata, kerajaan Pahang bercadang mengkaji semula penempatan membabitkan 33 keluarga di Kampung Rekoh, Rompin dalam masa terdekat.

Jelasnya, kawasan yang didiami keluarga itu sering dinaiki air setiap kali hujan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, justeru keselamatan penduduk setempat perlu diambil kira dan disebabkan itu kerajaan Pahang membuat keputusan untuk melihat kesesuaian kawasan itu sebagai lokasi penempatan penduduk.

"Kita akan kaji Kampung Rekoh ini secara lebih mendalam dan menyeluruh.. perbincangan masih dijalankan.

"Tapi pihak kerajaan masih belum memutuskan lokasi baharu untuk menempatkan mereka," katanya.