Lebih 3,000 mangsa sudah dipindahkan

Tingkat satu bangunan Sekolah Kebangsaan Air Lanas Jeli ditenggelami air semalam. - Foto Info Banjir Negeri Kelantan via Twitter Banjir2019
Tingkat satu bangunan Sekolah Kebangsaan Air Lanas Jeli ditenggelami air semalam. - Foto Info Banjir Negeri Kelantan via Twitter Banjir2019
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 3,983 mangsa melibatkan 1,165 keluarga sudah dipindahkan pada hari kedua gelombang banjir kedua di Kelantan setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah itu berkurangan berbanding 4,065 mangsa pada jam 5 pagi tadi.

Setakat ini 47 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan enam jajahan iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat seramai 2,468 orang dewasa terlibat, 1,400 (kanak-kanak), 115 (bayi), 350 (warga emas) dan 42 orang kurang upaya (OKU)

Jajahan yang paling ramai ialah di Jeli iaitu seramai 1,340 mangsa terdiri daripada 431 keluarga di 12 PPS manakala jajahan Tanah Merah membabitkan seramai 1,211 orang dari 319 keluarga dipindahkan ke 22 PPS terlibat.

Mangsa di Pasir Mas pula ialah 312 orang terdiri daripada 94 keluarga berada di lima PPS dan Machang masih terdapat 272 orang membabitkan 85 keluarga diselamatkan ke tiga PPS.

Di Kuala Krai, empat PPS dibuka bagi menempatkan 235 mangsa terdiri daripada 68 keluarga.

Keadaan banjir di Pasir Puteh masih terkawal dengan hanya satu PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Changai yang menempatkan 66 mangsa melibatkan 23 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini hanya Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu, 10.63 m (bahaya 9m).

Dua sungai yang melepasi paras amaran ialah Sungai Kelantan di Guillemard iaitu 15.02 m (amaran 14m) dan Sungai Golok di Jenob iaitu 22.85m (amaran 22.50m).

Sungai Galas di Dabong dan Sungai Lebir di Tualang pula melepasi paras berjaga-jaga.