Konflik, kelemahan tadbir urus dan rasuah punca negara Islam mundur

Dr Azmi Omar. - Foto Bernama
Dr Azmi Omar. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konflik peperangan, kelemahan tadbir urus negara, masalah rasuah dan isu integriti merupakan antara faktor yang membantutkan kemajuan sesebuah negara Islam.

Permasalahan ini bukan sahaja berkisar di negara Islam yang mundur dari segi ekonomi malah juga membabitkan sesetengah negara Islam yang kaya.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, hampir 60 hingga 70 peratus daripada 56 negara Islam boleh diklasifikasikan sebagai negara miskin.

“Bagi negara miskin yang menghadapi konflik peperangan, pemerintahan negara lebih tertumpu kepada penyelesaian konflik daripada soal membangunkan negara.

“Ada negara yang tidak berkonflik pula berhadapan masalah pengurusan dana kerana kekayaan negara yang diperoleh itu tidak digunakan untuk memakmurkan negara, sebaliknya dibelanjakan untuk kepentingan sesama pemimpin,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Azmi berpendapat kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di sesetengah negara Islam yang kaya sama seperti kadar KDNK di negara Scandinavia namun taraf hidup penduduk mereka amat berbeza.

“Bagi negara Islam yang kaya ini, mereka perlu menguruskan hasil negara dengan baik bertujuan mengembangkan pelaburan bagi memajukan negara.

Soal pembangunan merupakan antara perkara yang akan dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 selama empat hari bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed daripada Pusat Penyelidikan Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, bagi mengekang kesemua permasalahan yang berbangkit di negara Islam, ia perlu dimulakan dengan memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti.

“Kita perlukan lebih ramai pemimpin yang bersih dan komited. Di mana-mana negara Islam, kita tidak perlukan pemimpin yang mudah disogok yang menyalahgunakan kekayaan negara untuk keuntungan peribadi,” katanya. - Bernama