Penglibatan DAP bukan rahsia: Muhammad Khalil

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas tidak terkejut dengan pengakuan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa DAP memainkan peranan penting dalam menentukan hal melibatkan pentadbiran kerajaan PH serta kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika ini.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia merupakan 'rahsia' yang telah diketahui umum.

"Sejak awal lagi (pemerintahan kerajaan PH) saya sudah sebut bahawa DAP yang kuasai kerajaan hari ini termasuklah dalam menentukan polisi (kerajaan).

"Saya juga percaya kenyataan Dr Mahathir ini tulus serta menunjukkan realiti (apa yang berlaku dalam kerajaan PH) yang sebenar," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurut Muhammad Khalil lagi, pengakuan yang dibuat sendiri Dr Mahathir itu juga turut memberi gambaran bahawa pentadbiran PH kini dikuasai DAP.

"Kita bimbang dalam keadaan sekarang, pentadbiran PH akan membawa tuntutan yang boleh mengancam Islam dan Melayu.

"Perkara ini boleh dilihat melalui perjuangan DAP melibatkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD), Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sebagainya,"katanya.

Dr Mahathir semalam membuat pengakuan bahawa DAP memainkan peranan penting dalam menentukan perkara membabitkan pentadbiran kerajaan dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Pengakuan itu dibuat dihadapan penyokongnya ketika hadir menyempurnakan perasmian Pejabat Bersatu Negeri Terengganu di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya lagi, pada awalnya DAP merupakan parti seteru, namun keadaan berubah menjadikan parti itu sebagai rakan sekutu kepada Bersatu sehinggalah PH berjaya membentuk kerajaan selepas menang pada PRU14 Mei lalu.