X

Kindly register in order to view this article
!

Dakwaan Najib mengelirukan, harga sawit terus meningkat

Faiz Fadzil
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kejatuhan eksport minyak sawit negara disebabkan Malaysia mempunyai masalah hubungan dengan India adalah mengelirukan.

Dakwaan itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu membela nasib penduduk Muslim di Kashmir sebelum ini ternyata tidak tepat kerana harga sawit sebenarnya terus meningkat.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, India masih menjadi negara pembeli ketiga terbesar minyak sawit tempatan dan mengimport sebanyak 142,696 tan pada November lalu.

Menurutnya, eksport minyak sawit Malaysia ke India menurun selama tiga bulan dari September hingga November susulan peralihan permintaan daripada minyak sawit dan minyak soya kepada minyak bunga matahari.

"Berdasarkan laporan Bloomberg pada 12 Disember lalu, penghantaran minyak sawit ke India dari pelbagai negara sumber jatuh Oktober. Trend ini disebabkan kenaikan harga minyak sawit sejak beberapa bulan lepas," katanya melalui satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, sejak pertengahan Julai lalu harga minyak sawit meningkat sebanyak 50 peratus berikutan jangkaan kejatuhan stok sawit dan peningkatan permintaan daripada bio-fuel.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, tindakan kerajaan India yang memberhentikan import minyak sawit bukan sahaja melibatkan Malaysia.

"Laporan Reuters pada 14 November lalu menyatakan kilang dari India telah meneruskan pembelian minyak sawit Malaysia dan membuktikan India tidak memboikot negara ini.

"Menurut data Malaysian Palm Oil Board, harga minyak sawit bagi satu tan melonjak pada harga RM2,856 berbanding hanya RM1,879.50 pada 15 Julai lalu dan yang tertinggi dalam tempoh dua tahun," katanya.

Beliau berkata, tindakan kerajaan India yang meningkatkan duti import ke atas minyak sawit ditapis dari Malaysia daripada 45 peratus kepada 50 peratus sehingga Mac 2020 untuk mengukuhkan industri penapisan di negara itu turut menjejaskan sawit tempatan.

Menurutnya, Indonesia selaku pengeluar minyak sawit terbesar dunia turut dikenakan kadar 50 peratus.

"Oleh itu, perubahan eksport minyak sawit ke India adalah perkara biasa dan kesan dinamika pasaran bebas.

"Justeru, Najib harus berhenti mengelirukan dan menipu rakyat Malaysia. Belajarlah menjadi pembangkang yang membina dan berhujah atas fakta bukannya auta," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Harga minyak sawit dijangka bertambah baik

Tak pernah lihat harga sawit seteruk ini, kata Najib


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus