Kedah pertimbang buka sempadan Bukit Kayu Hitam 24 jam

Mukhriz Tun Mahathir
Mukhriz Tun Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan mempertimbangkan keperluan membuka pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam secara 24 jam untuk pelancong.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bagaimanapun berkata, perkara itu perlu dikaji secara mendalam mengenai manfaat dan kesannya selain risiko jika ia dilaksanakan termasuk dari aspek penyeludupan serta keselamatan.

“Ketika ini pintu sempadan dibuka 24 jam untuk kenderaan berat dan pergerakan kargo sahaja. Dari segi kemasukan pelancong, kita tidak dapat data lagi yang menunjukkan ada keperluan dan beri manfaat kepada Kedah dan Malaysia.

“Jadi kalau ada data seperti itu, bolehlah ia dipertimbangkan kerana perlu ambil kira soal keselamatan. Kita juga perlu pastikan ia tidak disalahgunakan antaranya kes penyeludupan di sempadan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, menyedari jumlah kemasukan pelancong dari negara China ke Malaysia yang ramai, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan risalah yang memaparkan maklumat berkaitan produk pelancongan di negeri ini dalam bahasa Mandarin bagi memudahkan pelancong dari negara tersebut.

“Kita akan tengok dahulu macam mana dan ia bergantung kepada tempat yang menjadi tumpuan dan tempat yang kita mahu promosikan kepada pelancong. Kena juga buat dalam bahasa Mandarin kerana kadang-kadang mereka tidak tahu macam mana hendak makan makanan Malaysia.

“Kita juga sedang berusaha untuk terus mempromosikan Kedah. Sebelum ini, kita kurang promosikan negeri kerana tidak cukup yakin dengan produk pelancongan yang ada tetapi sekarang, proses tambah baik promosi sedang dilakukan bagi menarik jumlah pelancong yang lebih ramai,” katanya.

Terdahulu, Mukhriz melancarkan Direktori Pelancongan Kedah yang merupakan salah satu platform untuk memperkenalkan produk pelancongan dan budaya negeri ini melalui pakej sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Artikel Berkaitan:

“Direktori ini merupakan salah satu daripada usaha untuk kita menguar-uarkan kepada dunia mengenai segala macam daya tarikan yang ada di bumi Kedah Darul Aman ini.

“Kita lihat peluang itu juga sangat terbuka dengan negara yang bakal menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020 dan ini dapat menjana publisiti dan seterusnya semua pihak mendapat manfaat dalam bidang pelancongan ini,” katanya. - Bernama