Tabung Haji jangka bayar hibah lebih tinggi

Nik Mohd Hasyudeen (lima dari kanan) bersama sebahagian para penerima van pelbagai guna di Menara Tabung Haji hari ini. - Foto: Bernama
Nik Mohd Hasyudeen (lima dari kanan) bersama sebahagian para penerima van pelbagai guna di Menara Tabung Haji hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan pembayaran hibah (dividen) lebih tinggi bagi tahun kewangan 2019.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, pencapaian prestasi kewangan TH amat positif pada suku ketiga tahun ini malah berada pada landasan yang betul.

“Kalau tengok setakat bulan September baru-baru ini, alhamdulillah pencapaian TH (berada) di dalam trek yang betul, jadi kita tunggulah.

“Tahun ini masih berbaki dua minggu lagi. Insya-ALLAH, pembayaran hibah akan lebih baik daripada 2018,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kenderaan dwifungsi kepada wakil masjid terpilih seluruh negara di sini hari ini.

Bagi tahun kewangan 2018, TH mengagihkan hibah sebanyak 1.25 peratus melibatkan RM913 juta kepada semua pendepositnya.

Sehingga 30 November lepas, TH mempunyai 8.71 juta pendeposit termasuk 87,000 akaun simpanan yang baharu.

Menurut rekod, prestasi suku ketiga TH adalah baik dengan jumlah aset terus mengatasi tanggungan sebanyak RM2.3 bilion, lebih tinggi berbanding RM1 bilion pada 2018, manakala keuntungan bersih berjumlah RM500 juta pada suku ketiga 2019 meningkatkan keuntungan untuk tempoh sembilan bulan pertama kepada RM1.3 bilion.

Mengenai sumbangan kenderaan dwifungsi, Nik Mohd Hasyudeen berkata, TH merancang akan memperluaskan sumbangan seumpama itu ke Sabah dan Sarawak bermula tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 25 kenderaan dwifungsi bernilai kira-kira RM3 juta disumbangkan menerusi program Mobiliti TH untuk dimanfaatkan ahli kariah bagi tujuan urusan pengebumian dan pengangkutan.

Sementara itu, Pembantu Pengurus Masjid Jamek Rahimah, Kuala Kubu Bharu, Radzulai Yahaya menyifatkan sumbangan itu sebagai rezeki tidak ternilai yang akan dijaga dan digunakan sebaik mungkin.

“Pada mulanya kami ingatkan van jenazah, rupa-rupanya van serbaguna. Kami memang amat memerlukan kenderaan seumpama ini kerana van jenazah sedia ada hanya dipinjam,” katanya.

Pengerusi dan Imam Masjid Al-Raudhah Machang, Zulkafli Jusoh ketika menzahirkan ucapan penghargaan turut berasa terharu dengan sumbangan daripada lembaga tabungan bagi jemaah haji itu memandangkan pihaknya telah beberapa kali membuat permohonan kepada pelbagai pihak sebelum ini. - Bernama