'Tak sangka air naik begitu cepat'

Shida (tiga dari kanan) dan Mohd Shafik yang berkerusi roda ketika dikunjungi Zulkiflee di PPS SMK Suria Perdana Batu Pahat hari ini.
Shida (tiga dari kanan) dan Mohd Shafik yang berkerusi roda ketika dikunjungi Zulkiflee di PPS SMK Suria Perdana Batu Pahat hari ini.
A
A
A

BATU PAHAT - Sebuah keluarga di Kampung Parit Semarang di sini tidak menyangka air banjir naik begitu cepat petang semalam sehingga memaksa mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana.

Shida Mohamad, 52, berkata, dia dan suaminya, Md Zainal Tukimin, 54, bersama lima anak mereka menaiki kereta ke PPS yang terletak 500 meter dari rumah kira- kira jam 4 petang semalam.

Lebih menyedihkan anak kedua mereka, Mohd Shafik, 24, sukar bergerak kerana patah tangan kanan dan paha kanan akibat terlibat kemalangan pada September lalu terpaksa dibantu untuk berpindah ke PPS.

Menurut Shida, sejak tinggal di situ lebih 30 tahun lalu, hampir setiap tahun rumahnya akan dinaiki air berikutan terletak di kawasan rendah.

"Tiap- tiap tahun pindah ke PPS. Tahun 2003 dan 2006 paling teruk kerana banjir menenggelamkan separuh rumah.

"Reda dengan ujian ini, memandangkan memang hujan lebat akan berlaku pada setiap hujung tahun," katanya ketika ditemui di PPS SMK Suria Perdana.

Jelasnya, dia amat berharap agar bantuan bagi meringankan beban selepas banjir berikutan banyak barang yang rosak ditenggelami air banjir.

Mohd Shafik berkata, dia segera bertindak mengemas barang sebaik melihat air mula memasuki rumah petang semalam.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun perlu bertongkat untuk bergerak tetapi saya tetap bantu kemaskan barang yang perlu dan pindah ke PPS dengan adik beradik," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Batu Bahat, Zulkiflee Abbas berkata, tiga PPS telah dibuka di daerah ini iaitu di Balai Raya Kampung Haji Kamisan, SMK Suria Perdana dan SK Seri Chomel menempatkan 76 mangsa banjir.

Katanya, bilik gerakan di peringkat daerah telah dibuka semalam bagi memantau situasi banjir dan PPS.

"Sekiranya rumah penduduk dinaiki air, mereka dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS," katanya.