KFA intai tajaan Qatar Airways musim depan

Mohd Asmirul menandatangani mascot Luna sempena pelancaran ‘Luna Lights Wonderland’ dan kolaborasi amal bersama KFA, di Taman Tasik Darulaman, Jitra malam tadi.
Mohd Asmirul menandatangani mascot Luna sempena pelancaran ‘Luna Lights Wonderland’ dan kolaborasi amal bersama KFA, di Taman Tasik Darulaman, Jitra malam tadi.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) mengintai peluang untuk mendapatkan syarikat penerbangan gergasi, Qatar Airways sebagai penaja skuad Lang Merah berdepan saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, kertas cadangan telah dihantar kepada syarikat berkenaan namun sehingga kini belum menerima maklum balas daripada pengurusan Qatar Airways.

Menurutnya, walaupun perbincangan masih berlangsung, KFA berharap syarikat itu berminat menjadi rakan penaja walaupun bukan sebagai penaja utama kepada pasukan Kedah.

“Memang KFA sedang intai peluang untuk dapatkan Qatar Airways sebagai penaja pasukan Kedah namun kita faham standard syarikat itu. Mana tahu, nasib menyebelahi kita, yang penting kita cuba dahulu dengan hantar kertas cadangan kepada mereka untuk dinilai, sekarang terpulang kepada mereka untuk buat keputusan,” katanya selepas merasmikan ‘Luna Lights Wonderland’ di Taman Tasik Darulaman malam semalam.

Sebelum ini, ura-ura mengatakan KFA turut mengintai tajaan dari luar negara, antaranya Qatar Airways untuk menaja pasukan Kedah selain mencari tajaan dari syarikat korporat dalam negara.

Mohd Asmirul berkata, pihaknya berharap permohonan KFA mendapat perhatian Qatar Airways susulan pasukan memerlukan tajaan besar setelah terpilih dalam saingan ACL musim depan.

“Kalau mereka taja, baguslah kerana musim depan kita perlukan tajaan besar. Namun jangan dengar khabar angin yang tersebar kerana sehingga kini belum ada jawapan rasmi," katanya.

Menurutnya, selain Qatar Airways, KFA turut mengintai tajaan daripada beberapa syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai penaja pasukan Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Kita pun masih baru berurusan dengan Qatar Airways, selepas syarikat itu sediakan penerbangan terus dari Langkawi ke Doha. Nama mereka juga kukuh di peringkat antarabangsa dan jika mereka berhasrat menaja dalam bentuk lain pun kita alu-alukan,” katanya.

Mohd Asmirul berkata, setakat ini GLC yang mengesahkan akan menaja pasukan adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Bina Darulaman Berhad (BDB).

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, dua GLC ini antara penyumbang besar pasukan Kedah, kita cuba cari tajaan luar bagi imbangi kos agar tidak bebankan anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan, KFA memerlukan sebanyak RM32 juta sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia dan Kelayakan Kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020. Namun, pihaknya akan berbelanja berhemah seperti musim ini dan berjaya menjimatkan RM3.9 juta berbanding anggaran RM30.4 juta.

Kedah beraksi cemerlang dengan meraih Piala FA 2019, muncul Naib Juara Piala Malaysia 2019 dan berada di tangga keempat Liga Super 2019.