Semak status ke MRSM mulai hari ini

Rina (tengah) melihat surat tawaran kemasukan ke MRSM yang diserahkan kepada 29 pelajar dari Pahang pada satu majlis di Kuantan semalam.
Rina (tengah) melihat surat tawaran kemasukan ke MRSM yang diserahkan kepada 29 pelajar dari Pahang pada satu majlis di Kuantan semalam.
A
A
A

KUANTAN - Semakan status keputusan kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi Tingkatan Satu untuk sesi persekolahan tahun hadapan boleh dibuat mulai hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, semakan awal itu disediakan bagi membolehkan ibu bapa dan penjaga membuat persediaan lebih awal.

"Kita laksanakan pembaharuan bagi memudahkan ibu bapa dan penjaga untuk membuat persediaan sebelum pendaftaran yang dijadualkan pada 6 Januari hadapan.

"Bagi pemohon yang gagal, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan bermula hari ini (semalam) dan kita jangka proses dapat diselesaikan menjelang hari pendaftaran (kemasukan)," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Back To School 2020 @ KPLB Yayasan Pelajaran MARA di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di sini hari ini.

Pada majlis sama, Rina turut menyampaikan surat tawaran kemasukan ke MRSM kepada 29 pelajar dari Pahang.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 80,319 permohonan masuk ke MRSM diterima tahun ini walaupun kuota yang disediakan hanya 7,628 sahaja.

Menurutnya, ia melibatkan seramai 3,595 pelajar bagi MRSM Premier selain MRSM Ulul Albab (870), MRSM Program International General Certificate of Secondary Education (2,485), MRSM Teknikal (180) dan MRSM Program International Baccalaureate Middle Years Programme (489).

Bagaimanapun, katanya, kouta 60 peratus untuk pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dikekalkan sebagai inisiatif membantu mereka mengubah kehidupan keluarga.

Artikel Berkaitan: