X

Kindly register in order to view this article
!

Enjin bot rosak, dua hari terkandas di Pulau Rumbia

Dua lelaki (kanan dan tengah) yang berjaya diselamatkan anggota APMM Perak selepas dilaporkan tidak pulang sejak dua hari lalu.
A
A

LUMUT - Dua nelayan tempatan yang terkandas di sekitar Pulau Rumbia sejak dua hari lalu berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dalam operasi semalam.

Dua lelaki terbabit ditemui sekitar jam 8 malam dalam keadaan selamat.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, maklumat awal memaklumkan bot dinaiki mangsa mengalami kerosakan di bahagian enjin.

"Mangsa dikatakan telah keluar ke laut dari jeti Sungai Tiram, Lekir namun tidak pulang-pulang menyebabkan gerakan mencari dilakukan.

"Ketika ditemui mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan bot kemudiannya ditunda ke Jeti Awam Kampung Acheh untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bot dinaiki dua lelaki yang mengalami kerosakan enjin.
Bot dinaiki dua lelaki yang mengalami kerosakan enjin.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mengelak melakukan aktiviti laut dalam keadaan cuaca tidak menentu terutama laut bergelora dan angin kencang.

Katanya, ramalan kaji cuaca boleh dipantau dengan mudah melalui aplikasi MCG Info yang dikeluarkan Maritim atau menerusi mycuaca daripada Jabatan Meteorologi.

"Semua komuniti Maritim seperti nelayan, komuniti perkapalan, industri cari gali minyak mahupun penggemar aktiviti rekreasi laut atau mana-mana individu dan kumpulan yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut diingatkan meningkatkan tahap waspada terutama ketika musim monsun timur laut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf