Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers

Amirudin (tengah) menyampaikan cek replika kepada wakil-wakil Persatuan Rumah ibadah (Gereja) selepas merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor 2019 di Klang hari ini. - Foto Bernama
Amirudin (tengah) menyampaikan cek replika kepada wakil-wakil Persatuan Rumah ibadah (Gereja) selepas merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor 2019 di Klang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Kerajaan Selangor sedang memproses kelulusan tapak tanah Highland Towers di Hulu Klang untuk dibangunkan semula dan ia memerlukan masa kerana perlu melalui beberapa prosedur.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya ada menerima surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai isu pembangunan semula Highland Towers bulan lepas dan ia sedang diuruskan oleh jabatan terlibat.

"Kita memang mahu bekerjasama dengan KPKT untuk membangunkan semula kawasan itu (Highland Towers) cuma prosesnya (kelulusan tanah untuk diambil alih bagi pembangunan semula) mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

"Prosesnya yang melibatkan maklum balas, penggazetan dan sebagainya iaitu proses biasa dalam kerja tanah biasanya mengambil masa 90 hari atau tiga bulan. Jika ada isu lain, ia mungkin ambil masa empat bulan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Krismas peringkat negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab gesaan Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin hari ini seperti dilaporkan media supaya kerajaan Selangor mempercepatkan kelulusan pengambilalihan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula selepas lebih 20 tahun terbiar.

Ditanya sama ada proses kelulusan tapak tanah untuk pembangunan semula itu boleh diselesaikan hujung bulan ini seperti yang digesa Zuraida, Amirudin berkata ia perlu dibawa ke mesyuarat exco terlebih dahulu.

"Surat (daripada KPKT) saya baru dapat dan memerlukan masa (untuk proses) sebab kerajaan negeri perlu mengikut prosedur dalam isu berkaitan tanah.

"Saya juga sudah bermesyuarat dengan menteri (Zuraida) untuk melakukan beberapa pelarasan mengenainya. Kalau buat Januari pun tiada masalah. Saya akan cuba percepatkan," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: