X

Kindly register in order to view this article
!

MHC akan wujudkan jawatankuasa cari punca gagal ke Tokyo 2020

Subahan Kamal
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) akan mewujudkan Jawatankuasa Penilaian Semula bagi mengenal pasti penyebab utama kegagalan skuad hoki wanita dan lelaki negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan selepas usaha untuk membantu pasukan layak ke Tokyo 2020 termasuk dari segi sokongan moral dan kewangan, gagal.

"Satu laporan akan disediakan untuk dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai kegagalan kami ke Sukan Olimpik 2020 pada Mac depan.

"Selepas mengenal pasti punca kami tidak layak ke Sukan Olimpik 2020, saya tidak mahu lagi perkara sama berulang untuk empat tahun akan datang," kata Subahan selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MHC di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Subahan berkata, pihaknya akan melantik beberapa pakar sukan hoki termasuk wakil MHC, Ahli Lembaga Eksekutif, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), wakil daripada bekas pemain, wakil Institut Sukan Negara (ISN) serta pihak media, wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau turut mengumumkan mengenai kontrak jurulatih kebangsaan yang akan tamat pada hujung tahun ini.

Katanya, selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan pertama dijalankan, pihak MHC akan mengiklankan kekosongan jawatan jurulatih terbuka bagi mana-mana jurulatih sama ada dalam negara mahupun antarabangsa untuk memohon jawatan tersebut.

Namun jawatan yang disandang Roelant Oltmans sebagai ketua jurulatih skuad lelaki negara akan terus dikekalkan kerana beliau masih mempunyai kontrak bersama MHC dan MSN.

"Kontrak semua jurulatih akan tamat pada hujung bulan ini (31 Disember) dan kami akan memaklumkan mengenai program yang dipertanggungjawabkan kepada mereka telah berakhir, jadi semuanya akan bermula baru.

"Liga Hoki Malaysia akan bermula dari Januari hingga Februari depan, mungkin ada jurulatih atau pemain yang menyerlah serta perlu diberikan peluang untuk bersama MHC. Akan ada panel temuduga yang akan melakukan penilaian dan sekiranya mereka adalah yang terbaik, mereka akan dipilih," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!