'Bayar dulu royalti, baharu jual saham'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KOTA BHARU - Badan bukan kerajaan (NGO) Royalti mahu kerajaan menyelesaikan pembayaran balik royalti kepada negeri-negeri terlibat terlebih dahulu sebelum membuat perancangan untuk menjual saham-saham yang melibatkan Petronas.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, adalah lebih baik jika isu pembayaran royalti diselesaikan terutamanya melibatkan telaga-telaga minyak yang dimiliki oleh Kelantan dan tidak bertindih dengan kawasan Terengganu berikutan isu sempadan laut yang belum lagi dimuktamadkan.

“Kami percaya yang proses pembayaran balik wang royalti minyak kepada negeri ini sudah berada di peringkat terakhir dan boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

“Namun ketika ini semua rakyat tertumpu kepada kenyataan terbaru kerajaan mengenai cadangan untuk menjual saham yang ada dalam Petronas.

"Manakala proses penjualan saham tersebut masih lagi diperingkat awal cadangan yang pastinya mengambil masa untuk direalisasikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, apabila wang royalti tersebut dibayar kepada kerajaan negeri, sebahagian daripadanya boleh digunakan untuk membeli saham-saham Petronas itu dan akan mendapat pertimbangan pihak kerajaan negeri apabila tiba masanya nanti.

Malah beliau memberitahu, penjualan saham itu digambarkan sebagai penting untuk memberi pulangan kewangan yang tinggi kepada pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah hutang dan kewangan negara yang agak parah kini.

"Alasan penjualan ini turut dibuat bagi mengelakkan Petronas mengalami kerugian apabila pembayaran royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak sebagaimana manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.

"Walaupun sebenarnya perkara ini tidak pun akan membebankan kerajaan kerana nilai 20 peratus adalah daripada keuntungan dan bukannya daripada pengeluaran.

Artikel Berkaitan:

"Satu perkara lagi yang harus difikirkan adalah, apabila Petronas menjual saham-sahamnya, mungkin sahaja nanti berlaku penjualan di bawah harga semasa yang akan menatijahkan kerugian di atas kertas dan ini lebih teruk daripada ‘membayar’ royalti 20 peratus.

"Pada pandangan kami, perjuangan kami dan perjuangan rakyat Kelantan amat jelas sekali iaitu memperjuangkan tuntutan royalti petroleum sebagaimana perjanjian royalti 9 Mei 1975 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

"Kesemua dokumen perundangan tersebut jelas menunjukkan pembayaran tunai (royalti) perlu diberikan kepada kerajaan negeri dan bukan berupa wang ehsan atau saham," katanya.