Raudhatul Ummah perkasa budaya tadabbur al-Quran

TANAH MERAH – Usaha membudayakan amalan membaca dan memahami al-Quran dalam kehidupan seharian menjadi matlamat penubuhan Raudhatul Ummah yang dilancarkan di sini pada Jumaat.
Pengasasnya, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, inisiatif itu dicetuskan bagi menggalakkan masyarakat setempat mendekati al-Quran melalui pembacaan dan tadabbur, sekali gus memperkukuh penghayatan terhadap kitab suci itu.
“Harapan saya agar Raudhatul Ummah dapat menjadi platform untuk masyarakat mendekati al-Quran, bukan sahaja melalui pembacaan, tetapi juga dengan memahami dan menghayati isi kandungannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Majlis pelancaran Raudhatul Ummah itu dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Ulama UMNO, Amran Arffin dan dihadiri kira-kira 300 orang.
Menurut Wan Rakemi, Raudhatul Ummah terbuka kepada masyarakat umum sebagai ruang untuk menyemarakkan amalan berteraskan al-Quran serta mengeratkan hubungan sesama komuniti.
“Inisiatif ini turut bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi keilmuan Islam dengan masyarakat, selain menyemarakkan kerjasama dalam usaha membangunkan ummah berteraskan nilai Islam.
“Penubuhan ini akan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak, seterusnya menggalakkan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

