10.9 peratus kanak-kanak Kelantan bantut, terutama Orang Asli - JKNK

KOTA BHARU – Dianggarkan 10.9 peratus kanak-kanak di negeri ini mengalami masalah bantut terutama melibatkan Orang Asli.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr Kasuadi Hussin berkata, rekod tersebut diperolehi hasil daripada saringan yang dilakukan terhadap 2,688 kanak-kanak di 12 pasar raya di 10 daerah di negeri ini dari 15 Ogos hingga 15 September lalu.
Menurut beliau, masalah itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia bukan sekadar berkaitan ketinggian fizikal, malah boleh menjejaskan perkembangan otak, keupayaan pembelajaran dan kesihatan kanak-kanak dalam jangka panjang.
Ujarnya, masalah bantut lazimnya berkait rapat dengan pemakanan tidak seimbang yang berterusan dalam tempoh lama, selain faktor sosioekonomi keluarga.
"Bantut ini bukan semata-mata disebabkan faktor keturunan. Kebanyakannya lebih kepada pemakanan, walaupun faktor genetik juga boleh memainkan peranan.
"Pemakanan yang tidak mencukupi dan tidak seimbang dalam tempoh lama boleh menjejaskan tumbesaran kanak-kanak," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perasmian Karnival Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Sambutan Hari Kesihatan Kanak-kanak Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 di sini.
Tambah beliau, masalah itu turut berkemungkinan berkait dengan keadaan keluarga berpendapatan rendah yang berdepan kekangan menyediakan makanan berkhasiat untuk anak-anak.
Jelasnya, selain itu komuniti Orang Asli juga antara kumpulan yang perlu diberikan perhatian, namun data khusus mengenai kadar bantut dalam kalangan komuniti berkenaan belum dapat dipastikan tanpa kajian terperinci.
Dalam perkembangan sama, Dr Kasuadi memberitahu, hasil saringan berkenaan turut mendapati 769 kanak-kanak atau 28.6 peratus daripada keseluruhan yang diperiksa mempunyai isu kesihatan yang dikenal pasti.
"Selain bantut, daripada jumlah itu, sebanyak 9.8 peratus mengalami masalah kurang berat badan dan susut (4.9 peratus) manakala 9.6 peratus pula dikenal pasti tidak menerima penyusuan susu ibu secara eksklusif.
"Hanya 0.3 peratus daripada kanak-kanak yang disaring didapati tidak melengkapkan imunisasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

