Bantu rakyat miliki rumah melalui skim 'rent to own'

Zuraida (dua dari kanan) mendengar taklimat berhubung projek rumah mampu milik SPNB yang akan dibangunkan pada Januari 2020.
Zuraida (dua dari kanan) mendengar taklimat berhubung projek rumah mampu milik SPNB yang akan dibangunkan pada Januari 2020.
A
A
A

KUANTAN - Rakyat boleh membeli kediaman mampu milik melalui skim pembiayaan pemilikan perumahan yang dikenali 'rent to own' (sewa untuk dimiliki) yang sudah dilancarkan pada September lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, menerusi skim itu rakyat boleh membeli rumah secara sewaan sebelum pembiayaan terbabit berpindah kepada urusan perbankan.

"Pendekatan yang baru ini (rent to own) mampu dilaksanakan dengan baik kerana ada kemudahan pinjaman daripada bank dan sebagainya.

"Jadi, saya yakin dengan pendekatan ini mampu membantu rakyat memiliki rumah mampu milik mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan rumah mampu milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang akan dibangunkan di Taman Mahkota Aman 2 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi SPNB, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin.

Zuraida berkata, sebanyak 1,422 unit rumah akan dibangunkan melalui kaedah reka dan bina di atas tanah seluas lebih 29 hektar.

Katanya, rumah itu akan dibina dalam tiga fasa dan fasa pertama akan dimulakan pada Januari tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

Zuraida (tengah) menyempurnakan pelancaran rumah mampu milik SPNB di Taman Mahkota Aman 2 di sini hari ini.
Zuraida (tengah) menyempurnakan pelancaran rumah mampu milik SPNB di Taman Mahkota Aman 2 di sini hari ini.

"Sebagai permulaan, pembangunan perumahan bagi fasa pertama merangkumi 186 unit rumah teres satu tingkat, 271 unit rumah teres dua tingkat, 78 unit rumah teres dua tingkat dan 12 unit kedai satu tingkat," katanya.

Ditanya mengenai permohonan tanah bagi membolehkan projek pembinaan rumah mampu milik itu, Zuraida berkata, pihaknya memohon tanah daripada kerajaan negeri bagi tujuan pembinaan projek perumahan itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan pihak kementerian bagi pembinaan rumah milik kerajaan negeri menerusi kaedah rent to own.

"Kementerian boleh bekerjasama dengan mereka (kerajaan negeri) dan kita akan beri keutamaan kepada projek kerajaan dahulu jika mereka berminat untuk membangunkan perumahan mampu milik.

"Pihak swasta juga boleh memohon dengan menghantar prososal kepada kementerian dan lawatan ke lokasi atau tapak akan dilakukan sebelum kelulusan diberikan," katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, melalui projek pembangunan perumahan rumah mampu milik di daerah ini ia dapat membuka lebih banyak peluang kepada penduduk setempat untuk membeli rumah pertama mereka.

"Pihak kita akan memperkenalkan pelbagai program rumah mesra rakyat dengan menawarkan pakej baharu seperti pinjaman tanpa faedah, tempoh pinjaman yang lebih pendek dan reka bentuk yang lebih menarik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!