X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan gagal lucut hak harta UMNO Kedah

Najib - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kerajaan untuk melucutkan hak wang UMNO Kedah dan Syarikat Habib Jewels Sdn Bhd sebanyak RM1.054 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati wang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Nazlan berkata, ia tidak boleh dimasukkan dalam sebahagian jumlah RM15 juta yang dikeluarkan oleh Najib pada 2012 dan 2013.

Dalam penghakimannya beliau berkata, perlu diingatkan bahawa enam cek yang dikeluarkan berjumlah RM15 juta dan dibayar dalam tempoh berkenaan.

Katanya, permohonan lucut hak berkaitan kedudukan imbangan pada akaun semasa responden yang dibekukan dan kemudian disita pada 25 Jun 2018 iaitu berjumlah RM1,054,019.22.

Bagaimanapun hakim berkata, pembayaran cek terakhir sebanyak RM1 juta dibuat pada Jun 2013, manakala baki akhir pada bulan itu ialah RM1.4 juta.

“Maka, RM15 juta yang didakwa itu sudah tiada dalam akaun terbabit. Bakinya pada 1 Januari 2017 pula berkurangan sehingga RM58,000,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 44 transaksi membabitkan RM27 juta dimasukkan ke akaun responden sepanjang empat bulan pertama 2018 iaitu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), manakala RM26 juta dibayar dalam 203 transaksi dalam tempoh sama.

“Saya tidak boleh mengatakan jumlah lebih RM1 juta yang tinggal dalam akaun menjadi sebahagian daripada RM15 juta yang dibayar oleh Najib beberapa tahun lalu,” katanya.

Bagi kes membabitkan Habib Jewels yang menerima wang RM100,000 pula, Mohd Nazlan berkata, wang yang diterima daripada entiti itu bagi pembelian barangan kemas dilakukan dengan niat baik dengan maksud perniagaan biasa pihak responden.

Dalam prosiding itu, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai, manakala UMNO Kedah diwakili peguam, G Nadarajah sementara Khoo Guan Huat bertindak sebagai peguam mewakili Habib Jewels.

Pada 21 Jun lalu, SPRM memfailkan permohonan pelucuthakan hak sivil ke atas 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula wang yang dipindahkan dari akaun Najib.

Permohonan yang difailkan mengikut Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 itu bertujuan mendapatkan kembali dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun Najib dan 41 individu serta entiti terbabit.